Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 30 Jun. - Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) menganjurkan Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam Kali Kedua 2026 Masihi bertempat di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), pagi tadi.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan yang juga hadir selaku tetamu kehormat majlis. Turut hadir, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), para pegawai, pensyarah, guru, kakitangan serta pelajar institut berkenaan.
Acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dengan Qiraat Riwayat Ad-Duriy daripada Imam Ibnu 'Amru, Surah Ali 'Imran, ayat 189 hingga 194, yang disampaikan oleh Awang Muhammad Yusuf Haikal bin Mohamad Hashim, siswa Tahun 2 Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat. Manakala inti sari ayat dibacakan oleh Awang Muhammad Nurhidayatullah Al Mu'min bin Awang Rossnan, siswa Tahun 2 daripada program yang sama.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua ITQSHHB, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, diikuti dengan ucapan perasmian oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis juga diserikan dengan tayangan video sebelum diteruskan dengan sesi pembentangan oleh pembentang utama pertama iaitu Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Khairul Anuar bin Mohammad. Manakala pembentang utama kedua oleh Penolong Profesor Kanan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Mohamed Fathy Mohamed Abdelgelil.
Sesi pembentangan diteruskan pada sebelah petang secara selari, diikuti sesi soal jawab bersama peserta dan menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada para pembentang ucaptama. Acara diakhiri dengan bacaan doa oleh Pensyarah Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, ITQSHHB, Dr. Sheikh Mutiaa Al-Kabbani Mahmoud.
Manakala pada sebelah petang, diteruskan lagi dengan Majlis Penutup Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran di Negara Brunei Darussalam Kali Kedua 2026M yang menghimpunkan para peserta, ahli akademik, pensyarah, ahli jawatankuasa kerja dan siswa-siswi serta pelajar-pelajar ITQSHHB dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan tahfiz di negara ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar. Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pensyarah Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, ITQSHHB, Dr. Sheikh Mutiaa Al-Kabbani Mahmoud.
Antara pengisian utama majlis ialah pembentangan rumusan simposium oleh Setiausaha Simposium Pendidikan Tahfiz Al-Quran di NBD Kali Kedua, Dr. Dayang Hajah Norasbee binti Haji Mohd. Ali. Rumusan tersebut merangkumi dapatan, cadangan serta hala tuju strategik hasil daripada sesi pembentangan dan perbincangan sepanjang simposium. Ia diharap menjadi rujukan penting dalam memperkasakan sistem pendidikan tahfiz negara agar terus relevan, berkualiti dan memenuhi keperluan semasa.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta Sesi Selari sebagai penghargaan atas sumbangan idea, penyelidikan serta perkongsian kepakaran yang telah menjayakan simposium ini.
Dengan mengangkat tema 'Pendidikan Tahfiz Al-Quran : Inovasi di Era Teknologi', simposium ini merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran pertama pada tahun 2024. Ia memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan tahfiz yang progresif, inovatif dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Penganjuran kali ini menampilkan format yang lebih komprehensif, melibatkan sesi pembentangan utama pada waktu pagi dan pembentangan secara selari pada sebelah petang, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak kertas kerja untuk dibentangkan. Antara fokus perbincangan termasuk pendidikan tahfiz, teknologi, pendidikan qiraat serta disiplin ilmu berkaitan.
Simposium ini bertujuan untuk mempromosikan hasil kajian, inovasi serta amalan terbaik dalam pendidikan tahfiz Al-Quran di NBD, di samping menyediakan platform bagi perkongsian ilmu dan pertukaran pandangan dalam kalangan pakar, penyelidik, pendidik serta pelajar.
Selain itu, simposium ini turut berperanan memperkasa metodologi pengajaran dan pembelajaran tahfiz agar lebih sejajar dengan keperluan era digital, serta menggalakkan kolaborasi strategik antara institusi dan pihak berkepentingan dalam pembangunan pendidikan tahfiz, di samping menghimpunkan kertas kerja berkualiti untuk diterbitkan dalam Kandungan Shoutul Huffaz 3 (Jurnal ITQSHHB).
Simposium ini mencerminkan komitmen berterusan ITQSHHB dalam memperkasa pendidikan tahfiz negara dengan pendekatan yang relevan dan responsif terhadap perkembangan teknologi semasa.