Yang Di-Pertua MMN terima kunjungan hormat perpisahan




Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 30 Jun. - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini menerima kunjungan hormat perpisahan secara berasingan daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Ireland Yang Tidak Menetap Ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Yang Terutama Sarah Ann McGrath dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke NBD, Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio, di Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Kunjungan hormat perpisahan bersama Puan Yang Terutama Sarah Ann McGrath, memberi tumpuan kepada hubungan dua hala antara NBD dan Ireland, khususnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi.


Puan Yang Terutama turut menyatakan hasrat untuk mengekalkan kerjasama rapat melalui kerjasama antara MMN dan Parliament of Ireland.


Perbincangan juga menyentuh mengenai perkembangan kerjasama serantau dan antarabangsa seperti penglibatan bersama dalam mesyuarat dan persidangan Inter-Parliamentary Union (IPU).


Sementara itu, kunjungan hormat perpisahan juga diadakan bersama Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio.


Perbincangan telah mengimbas kembali kerjasama rapat antara kedua-dua buah negara dan perancangan untuk meningkatkan dialog dan perkongsian amalan terbaik antara MMN dan Congress of the Philippines.


Kedua-dua pihak juga turut menzahirkan komitmen untuk terus mengeratkan hubungan dua hala antara NBD dan Republik Filipina.


Hadir sama semasa kunjungan-kunjungan hormat tersebut ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah. 


Close