Peka terhadap perubahan, sentiasa responsif, adaptif





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas




 

RIMBA, Isnin, 29 Jun. - Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Kali Ke-37 bermula hari ini dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap, Urustadbir Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin, selaku tetamu kehormat majlis.


Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr. Awang Norfarizal bin Othman; Pengarah Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Dr. Dayang Hajah Noor Maya binti Haji Md. Salleh, serta pegawai-pegawai dari kedua-dua jabatan tersebut.


Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh tetamu kehormat, di mana beliau turut mengucapkan tahniah kepada 23 peserta yang terpilih menyertai program tersebut.


Beliau juga menekankan peranan penting pegawai pengurusan pertengahan dalam menyelaraskan visi, misi dan strategi organisasi di samping berupaya menganalisis, menyelesaikan masalah serta menghasilkan alternatif dan penyelesaian yang inovatif bagi mengatasi halangan dan cabaran dalam penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.


Awang Ajman juga turut mengetengahkan akan pentingnya untuk melihat gambaran besar hala tuju strategik negara dan menghubungkannya dengan tugas haraian serta hasil projek, selain keupayaan untuk menghubungkan visi jangka panjang dengan pelaksanaan di lapangan bagi memastikan setiap dasar dan usaha bukan sahaja relevan tetapi benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan menyumbang kepada kecemerlangan negara.


Pemimpin pertengahan juga, tambahnya perlu responsif terhadap perubahan, sentiasa menilai semula rancangan agar kekal relevan, dan berani menyesuaikan pendekatan apabila keadaan memerlukan.


Dalam konteks kepimpinan yang responsif dan adaptif menggariskan tiga pengajaran penting kepada peranan sebagai pemimpin pertengahan iaitu pertama, peka terhadap perubahan serta tidak selesa kepada kedudukan status 'quo'; kedua, adaptasi yang tangkas, di mana setiap pendekatan dan keutamaan perlu disesuaikan mengikut keadaan semasa agar organisasi kekal relevan dan berkesan; dan ketiga, impak nyata kepada rakyat, di mana kejayaan sebenar diukur melalui manfaat yang dirasai dan bukan sekadar tercatat di atas kertas.


"Kepimpinan bukan hanya soal ilmu dan kemahiran, tetapi juga integriti dan akhlak. Pemimpin berwibawa terserlah melalui keteguhan nilai, keberanian mempertahankan kebenaran, rendah hati menerima pandangan, serta prihatin terhadap kebajikan warga kerja," tegas beliau lagi.


Objektif program adalah untuk membangunkan pengetahuan dan kompetensi kepimpinan warga Perkhidmatan Awam di peringkat pengurusan pertengahan serta melengkapkan mereka dengan kemahiran kepimpinan yang diperlukan untuk memimpin pasukan masing-masing dalam menghadapi cabaran masa hadapan yang tidak menentu.


Program ini juga bertujuan untuk memperkukuh keupayaan pemimpin masa depan agar lebih tangkas dalam perancangan dan pelaksanaan, serta dalam membuat keputusan yang berkesan, bagi memenuhi keperluan orang ramai yang sentiasa berubah, terutamanya dalam era yang banyak perubahan serta gangguan global dan digital yang pesat


EDPMMO merupakan salah satu program di bawah Civil Service Leadership Pipeline (CSLP) yang diterajui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.


IPA telah diamanahkan untuk mengendalikan program kali ke-37 ini setelah berjaya melaksanakan tiga program EDPMMO sebelum ini.


Close