210 pegawai, kakitangan Kementerian Kesihatan terima Pingat Kerja Lama



​​

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BERAKAS, Sabtu, 27 Jun. - Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Penyampaian Pingat Kerja Lama (P.K.L) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun bagi Tahun 2025 bertempat di Dewan Al-'Afiah Kementerian Kesihatan, Berakas, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Guru Ugama Terlatih, Unit Perkhidmatan Ugama Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Awang Haji Mohd. Emmarul bin Haji Azmain.


Majlis diteruskan dengan penyampaian P.K.L. oleh tetamu kehormat kepada seramai 210 pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.


Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap kesetiaan, dedikasi serta pengorbanan para penerima yang telah mencurahkan khidmat bakti mereka dengan penuh komitmen dan profesionalisme sepanjang tempoh perkhidmatan.


Sumbangan mereka bukan sahaja memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan negara, malah turut memberi impak yang bermakna kepada kesejahteraan dan kualiti kehidupan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.


Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr. Awang Haji Mohd. Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.


Close