Oleh : Aimi Sani / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BOLKIAH GARISON, Khamis, 25 Jun. - Kementerian Pertahanan telah menerima lawatan pengenalan daripada Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral Ukris Boontanondha, hari ini.
Sejurus ketibaan di Kementerian Pertahanan, Tuan Yang Terutama Jeneral Ukris Boontanondha telah disambut oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan menerima Tabik Hormat Panglima daripada Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
Sejurus selesai memeriksa Kawalan Kehormatan, TYT Jeneral Ukris Boontanondha telah mengadakan kunjungan muhibah kepada Pemerintah ABDB. Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen untuk mengekalkan kerjasama ketenteraan yang konsisten dan berterusan antara kedua-dua Angkatan Tentera serta mengukuhkan lagi hubungan pertahanan yang sedia ada.
Seterusnya, TYT Jeneral Ukris Boontanondha juga telah membuat kunjungan hormat kepada Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah mengesahkan komitmen berterusan mereka bagi memperkukuhkan hubungan pertahanan dan ketenteraan dua hala.
Selain itu, kedua-dua pihak turut menyatakan hasrat untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan melalui pelbagai platform dua hala dan pelbagai hala, serta meneroka peluang-peluang baharu untuk memperluaskan bidang kerjasama pada masa hadapan.
TYT Jeneral Ukris Boontanondha berada di Negara Brunei Darussalam bagi Lawatan Rasmi dari 25 Jun 2026 hingga 27 Jun 2026.