Memupuk kreativiti, inovasi dalam kalangan generasi muda




Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani






BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 25 Jun. - Selaras dengan aspirasi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan dipacu inovasi, CIPTA 2027 menyediakan platform bagi pencipta, penyelidik, usahawan dan pelajar untuk berhubung, bekerjasama serta mempamerkan idea-idea inovatif.


Melalui perkongsian kepakaran dan dorongan inovasi, CIPTA terus memupuk penyelesaian yang melangkaui jangkaan dan menyumbang kepada kemajuan mampan.


CIPTA 2027 mengalu-alukan penyertaan pemikir inovatif dari NBD dan rantau ASEAN untuk bersama-sama menjayakan tema 'Bridge. Innovate. Beyond.' Bersama-sama, kita membina jaringan, mencetuskan kreativiti dan melangkaui batas inovasi ke arah masa depan yang penuh peluang serta transformatif.


Pertandingan ini merangkumi tiga kategori utama iaitu Kategori Tempatan, Pertandingan Smart Junior dan Kategori ASEAN. Kategori Tempatan merangkumi dua subkategori iaitu Kategori Inovasi dan Ciptaan Baharu serta Kategori Pencipta Muda.


Pertandingan Smart Junior terbuka kepada pelajar sekolah NBD dari peringkat menengah rendah atau setaraf iaitu Tahun 7 hingga Tahun 9.


Peserta dikehendaki membentangkan idea inovatif bagi produk atau proses teknologi baharu, atau pengubahsuaian produk, proses atau teknologi sedia ada dalam bentuk laporan dan pembentangan. Objektif pertandingan ini adalah untuk menggalakkan dan memupuk kreativiti dan inovasi dalam kalangan generasi muda.


Kategori ASEAN pula merangkumi Kategori Inovasi dan Ciptaan Baharu serta Kategori Pencipta Muda.


Setiap penyertaan akan dinilai berdasarkan keaslian dan kreativiti, kesesuaian dengan tema, tahap kesiapsiagaan teknologi (technology readiness level) serta aspek reka bentuk sosial, ekonomi dan kelestarian.


Penilaian akan dijalankan dalam dua peringkat iaitu Penilaian Awal dan Penilaian Akhir yang merangkumi laporan, pembentangan serta demonstrasi produk. Penyertaan dengan tiga markah tertinggi akan menerima hadiah wang tunai, trofi dan sijil. Ini diikuti dengan markah ke-4 dan ke-5 tertinggi akan menerima penghargaan khas.


Sementara itu, Anugerah Khas Tenaga Mampan pula mengiktiraf dan mempromosikan inovasi dalam projek berkaitan tenaga mampan. Anugerah ini diberikan kepada projek dengan markah tertinggi dalam setiap kategori.


Manakala Pemenang Kategori Inovasi dan Ciptaan Baharu bagi Kategori Tempatan dan Kategori ASEAN layak bersaing bagi merebut Anugerah Khas CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota yang menawarkan tambahan hadiah wang tunai BND8,000 serta sebuah trofi.


Pertandingan ini merangkumi semua bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan. Ia terbuka kepada sekolah, institusi teknikal dan pengajian tinggi, organisasi kerajaan dan swasta serta orang awam.


Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2027 merupakan kolaborasi signifikan antara Universiti Teknologi Brunei dan Brunei LNG dalam memupuk budaya inovasi dan kemajuan teknologi di negara ini.


CIPTA 2027 terus mengalu-alukan penyertaan minda inovatif dari NBD dan ASEAN untuk mempamerkan idea mereka bagi masa depan yang mampan. CIPTA kekal komited dalam memberi inspirasi dan memperkasa individu untuk mewujudkan dunia yang lebih hijau dan mampan.


Close