Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2027 dilancarkan




Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 25 Jun. - Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2027 (Crown Prince CIPTA Award 2027) yang berprestij dilancarkan secara rasmi pagi tadi pada majlis yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


CIPTA 2027 merupakan edisi ke-11 pertandingan dwitahunan yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan kerjasama penaja tunggal, Brunei LNG Sendirian Berhad (Brunei LNG).


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Majlis UTB.


Mengalu-alukan ketibaan tetamu kehormat ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif CIPTA 2027 dan Pengurus Kewangan Brunei LNG, Dayang Hajah Melissa binti Haji Zainal Abidin yang mewakili Pengerusi Bersama Jawatankuasa Eksekutif CIPTA 2027.


Sementara itu, Naib Canselor UTB dalam ucapannya menjelaskan, Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota merupakan satu platform penting yang diwujudkan bersama oleh UTB dan Brunei LNG bagi menginspirasikan kreativiti, memupuk inovasi serta menjalin hubungan antara idea dan peluang.


Menurutnya, anugerah ini memberi peluang kepada pelajar, penyelidik, usahawan dan inovator untuk mempamerkan penyelesaian yang menangani cabaran semasa dan menyumbang kepada kemajuan masyarakat.


Beliau seterusnya menjelaskan, edisi kali ini amat bermakna kerana ia diadakan bersempena Ulang Tahun UTB Ke-40 dan sepanjang empat dekad yang lalu, UTB berkembang menjadi sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka yang terkenal dengan komitmennya terhadap kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan penglibatan global.


Dalam meraikan pencapaian penting ini tambahnya, CIPTA 2027 mencerminkan komitmen berterusan UTB dalam membina jambatan kerjasama, memupuk inovasi dan melangkaui sempadan untuk mencipta impak yang bermakna bagi Negara Brunei Darussalam (NBD), rantau ASEAN dan dunia secara keseluruhannya.


Majlis diteruskan dengan ucapan tetamu kehormat yang seterusnya menyempurnakan pelancaran rasmi Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2027.


Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTB, Profesor Dr. Mohamed Hasnain Isa kemudian menyampaikan Keynote Lecture, diikuti dengan lawatan tetamu kehormat ke reruai dan pameran yang menampilkan para pemenang CIPTA terdahulu.


Pada majlis tersebut, tetamu kehormat juga turut menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Reka Bentuk Trofi CIPTA kepada pemenang utama.


Turut hadir, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Timbalan Pengerusi Majlis UTB; Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal; Duta-duta Besar dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi Negara-negara Anggota ASEAN; Ahli-ahli Majlis UTB; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap daripada pelbagai kementerian; Pegawai-pegawai Utama UTB; pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para jemputan khas.


Akronim CIPTA merujuk kepada Creative, Innovative Product and Technological Advancement dan juga merupakan perkataan bahasa Melayu 'cipta' yang bererti mencipta atau menghasilkan rekaan, bertujuan untuk menggalakkan dan memupuk budaya penciptaan, rekaan dan inovasi di NBD dan Negara-negara ASEAN yang lain.


Pertandingan CIPTA 2027 bertemakan 'Bridge. Innovate. Beyond.' yang mencerminkan kepentingan membina hubungan bermakna dalam melahirkan penyelesaian transformatif terhadap cabaran masa kini dan masa hadapan. Dengan merapatkan jurang antara pengetahuan, industri, budaya dan teknologi, inovasi dapat bergerak melangkaui sempadan konvensional dan mencipta impak yang berkekalan.


Pada dasarnya, tema ini menekankan kolaborasi sebagai asas kemajuan. Jalinan antara akademia, industri, kerajaan dan masyarakat membolehkan kepelbagaian perspektif digabungkan bagi memperkukuh pemikiran kreatif dan mempercepatkan pembangunan penyelesaian berimpak tinggi.


Melalui kerjasama ini, idea-idea inovatif dapat diterjemahkan kepada aplikasi praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi. Inovasi menjadi tonggak utama dalam usaha ini.


Dengan memanfaatkan teknologi baharu, pemikiran kreatif dan pendekatan pelbagai disiplin, para inovator digalakkan untuk membangunkan penyelesaian kepada cabaran global dan serantau, termasuk dalam bidang kelestarian, transformasi digital, kesihatan dan teknologi termaju.


Seruan untuk melangkaui 'Beyond' menggalakkan peserta untuk berfikir di luar batas kebiasaan, merentasi kerangka sedia ada, sempadan geografi dan pendekatan penyelesaian masalah konvensional. Ia menuntut penerokaan idea baharu yang berani serta perluasan impak inovasi ke tahap yang lebih tinggi.


Dengan pelancaran CIPTA 2027, para peserta yang berminat kini boleh mendapatkan garis panduan pertandingan, borang penyertaan, serta maklumat berkaitan melalui laman sesawang rasmi CIPTA di 'cipta.utb.edu.bn'.


Pendaftaran dibuka mulai 25 Jun 2026 hingga 25 Januari 2027, dan mengalu-alukan para inovator, penyelidik, pelajar serta usahawan dari NBD dan seluruh rantau ASEAN untuk menghantar penyertaan mereka.


Close