Doa kesyukuran kepulangan Rombongan Bi'thah Haji Perubatan




Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi




BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 24 Jun. – Kementerian Kesihatan pagi tadi mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448 dan Doa Kesyukuran bagi Kepulangan Rombongan Bi'thah Haji Perubatan dan Jemaah Haji Kementerian Kesihatan bagi Musim Haji 1447H bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.


Majlis berkenaan anjuran bersama Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan dan diadakan bagi meraikan dan mengalu-alukan kepulangan para jemaah haji yang telah selamat menunaikan rukun Islam kelima di Tanah Suci, di samping menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas kesempatan dan kemampuan yang telah dikurniakan kepada mereka untuk menyempurnakan ibadah haji.


Majlis tersebut juga merupakan wadah untuk memohon keberkatan agar segala ibadah yang telah dilaksanakan diterima sebagai haji mabrur serta sebagai tanda penghargaan kepada anggota Bi'thah Perubatan yang telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi dalam memberikan perkhidmatan dan penjagaan kesihatan kepada para jemaah haji sepanjang musim haji.


Di samping itu, majlis berkenaan turut memperingati kedatangan Tahun Baharu Hijrah 1448H sebagai peluang untuk bermuhasabah diri, memperbaharui azam serta mengambil iktibar daripada semangat hijrah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai panduan dan teladan dalam kehidupan seharian. 


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Ahmad Syuja'iee bin Begawan Mudim Haji Matassim.


Majlis berkenaan turut diisikan dengan ceramah agama bertajuk 'Haji Mabrur, Hijrah Berterusan : Menyuburkan Ihsan Dalam Perkhidmatan Kesihatan' disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal  Ehwal  Ugama, Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi. 


Kemudian, majlis diserikan lagi dengan Dikir Marhaban bagi menyambut kepulangan Bi'thah Haji Perubatan yang terdiri daripada 20 Pegawai Perubatan dan jururawat serta 35 jemaah haji warga Kementerian Kesihatan.


Ketua Rombongan Bi'thah Perubatan Haji bagi Musim Haji 1447H / 2026M ialah Dr. Haji Muhammad Nurhassanudddin bin Abdullah Kelali.


Seterusnya bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan oleh Awang Ahmad Syuja'iee.


Turut hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; ketua-ketua jabatan, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.  


Close