Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 24 Jun. - Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF) dengan sokongan dari Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Track & Roll Sdn. Bhd. telah menganjurkan persidangan Brunei Islamic Economy Conference (BIE-CON) 2026 yang bertemakan 'Catalysing a High-Performance Islamic Economy'.
BIE-CON 2026 merupakan antara acara yang dianjurkan oleh BILIF bagi menyokong Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei Mid-Year Conference and Exhibition 2026 (MYCE 2026) yang dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Persidangan berkenaan juga menandakan penyertaan BILIF untuk tahun keenam berturut-turut dalam MYCE sejak 2021.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BDCB.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Urusan BDCB, Dayang Hajah Rashidah binti Haji Sabtu, selaku Pengerusi BILIF yang antara lain menekankan peranan ekonomi Islam sebagai pemacu strategik bagi pembangunan negara yang mampan, inklusif dan berteraskan nilai.
Beliau menyatakan bahawa BIE-CON 2026 berfungsi sebagai platform untuk perkongsian ilmu dan kerjasama dengan perbincangan yang memberi tumpuan kepada trend ekonomi Islam global, pembangunan sosioekonomi serta inovasi teknologi.
Dayang Hajah Rashidah turut menyuarakan harapan agar persidangan berkenaan dapat menyumbang kepada usaha untuk memperkukuh lagi kedudukan Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai platform serantau yang berwibawa bagi pembangunan dan pelaburan ekonomi Islam.
Majlis diteruskan dengan ucaptama oleh tetamu kehormat majlis, yang antara lain menekankan bahawa ekonomi Islam bukan sahaja merangkumi produk halal dan kewangan patuh Syariah, tetapi juga ekosistem yang lebih luas yang berasaskan aktiviti ekonomi yang produktif, nilai-nilai beretika serta pembangunan mampan.
Yang Berhormat menegaskan keperluan untuk memperkukuh hubungan antara industri halal, kewangan Islam, teknologi dan pembangunan bakat bagi membuka peluang baharu untuk pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi.
Yang Berhormat turut menekankan kepentingan untuk memajukan pasaran modal Islam, memupuk inovasi melalui teknologi kewangan Islam (Islamic FinTech), serta membangunkan modal insan yang berkemahiran bagi menyokong ekonomi Islam yang lebih bersepadu, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Persidangan selama dua hari berkenaan mengetengahkan perbincangan peringkat tinggi, pembentangan serta sesi panel strategik yang merangkumi pelbagai tema utama berkaitan ekonomi Islam, industri halal, kewangan Islam, kemampanan, teknologi dan peluang ekonomi serantau.
Sesi-sesi utama termasuk 'Leveraging on the Halal Waves : Fast Tracking the Growth of Islamic Economy'; 'Islamic Economy & Regional Outlook 2026 : Implications for Businesses'; 'Indonesia's Syariah Economy Blueprint : Lessons for an Integrated Ecosystem'; 'Building a Resilient Islamic Economy : Sustainability; Security & Strategic Production'; 'Islamic Finance : Building Economy or Product Placements', dan 'Competing in the Global Economy : What Must Change Now'.
Persidangan berkenaan menampilkan penceramah dan ahli panel dari dalam dan luar negara, yang mewakili institusi serta organisasi terkemuka dalam bidang kewangan Islam, ekonomi halal, pelaburan, akademia dan sektor dasar.
Antaranya ialah Ahli Lembaga Pengarah BILIF, Dr. Haji Hairul Azrin bin Haji Besar; Pakar Kewangan Islam Utama, Islamic Development Bank (IsDB), Jeddah, Syed Faiq Najeeb; Ketua Pegawai Eksekutif, ISRA International Consulting Sdn. Bhd., INCEIF University, Malaysia, Assoc. Professor Dr. Eskandar Shah bin Mohd Rasid; Pengarah, Komite Nasional Ekonomi dan Keuangan Syariah (KNEKS), Dr. Sutan Emir Hidayat; dan Rakan Kongsi Kanan, Dinar Standard, Republik Indonesia, Afdhal Aliasar; serta pakar dan pengamal lain yang terkemuka.
BILIF sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi industri kewangan di negara ini, sentiasa giat menjalankan misinya untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan terutama dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan melalui program dan acara bertaraf antarabangsa.
Maklumat lanjut mengenai BILIF boleh didapati melalui laman sesawang BILIF di 'www.bilif.com.bn' atau akaun Instagram '@BILIF.bn'.