JPM semarak Tahun Baharu Hijrah 1448




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid






BERAKAS, Rabu, 24 Jun. - Bagi menyemarakkan Sambutan Tahun Baharu Hijrah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya pagi tadi mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1448 yang membawakan tema 'Hijrah Penyelamat Akidah' bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, di sini.


Hadir selaku tetamu khas bersama ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu dan Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.


Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, jemputan khas, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.


Kemudian majlis diteruskan dengan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan inti sari oleh siswa Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yusuf Haikal bin Mohammad Hashim dan Awang Ahmad Darwish bin Hamdan.


Majlis juga diserikan dengan Ceramah Khas bertajuk 'Hijrah Penyelamat Akidah' yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang dan diakhiri dengan Selawat Tafrijiyyah dan Selawat Asy-Syifa yang dipimpin oleh pegawai dan kakitangan dari Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


Majlis pada tahun ini dipengerusikan oleh Pusat Pengurusan Keselamatan Kebangsaan, Sekuriti dan Undang-Undang, JPM dan dikendalikan bersama Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.


Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan JPM untuk memuliakan acara-acara kebesaran Islam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan.


Close