Tingkatkan kefahaman tentang dasar, inisiatif kerajaan



Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 22 Jun. - Dalam usaha meningkatkan pemahaman, sokongan dan penghargaan masyarakat terhadap pelaksanaan dasar serta inisiatif kerajaan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, Jabatan Penerangan melalui Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Bahagian Komunikasi Strategik telah mengadakan Majlis Pembukaan Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi Mukim Amo yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, jabatan berkenaan.


Program berkenaan disertai oleh 37 peserta yang terdiri daripada penduduk Mukim Amo.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.


Turut hadir ialah Pemangku Penghulu Mukim Zon 2, ketua-ketua kampung di bawah Mukim Amo serta pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pemangku Imam Balai Ibadat Kampung Sibut, Awang Mohammad Khairolrizan bin Ibrahim, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Awang Muhammad Azyzul Azman @ Rosman bin Yakub.


Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa PMB merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan dalam memberi peluang kepada masyarakat untuk menimba pengetahuan secara lebih mendalam mengenai pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan serta agensi-agensi berkaitan dalam sama-sama membangunkan negara.


Awang Muhammad Azyzul Azman @ Rosman turut berharap agar para peserta dapat berganding bahu dengan agensi-agensi kerajaan melalui pendekatan Whole of Nation, sekali gus membuka minda serta menyuntik semangat untuk terus meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri demi masa depan yang lebih mampan, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.


Selain itu, program berkenaan juga dihasratkan dapat memberikan inspirasi dan idea baharu kepada para peserta menerusi lawatan sambil belajar ke beberapa agensi kerajaan dan perusahaan tempatan.


Sejajar dengan matlamat program untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui pendedahan kepada aktiviti pembangunan kapasiti dan pengetahuan, PMB Mukim Amo telah diisi dengan pelbagai sesi taklimat serta lawatan ke agensi-agensi terpilih yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat dan peluang-peluang yang boleh diterokai, termasuk dalam bidang keusahawanan.




Close