Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan
BERAKAS, Isnin, 22 Jun. - Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448, yang mana diselajurkan dengan Doa Kesyukuran Kepulangan Jemaah Haji Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya bertempat di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Juga hadir, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohammad Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Hajah Aldila binti Haji Mohammad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Atur cara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah At-Taubah ayat 38 hingga 40 berserta tafsiran oleh pelajar-pelajar Tahun 2, Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Bacaan ayat suci Al-Quran dimulakan oleh Awang Muhammad Nurhidayatullah Al-Mu'min bin Awang Rossnan, manakala tafsirannya dibacakan oleh Awang Nabil bin Haji Abdul Khamis.
Majlis sambutan seterusnya diisikan dengan Ceramah Khas sempena Ilal Hijrah 1448 bertajuk 'Menelusuri Hikmah Hijrah dan Kemabruran Haji Dalam Kehidupan Penjawat Awam' yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Awang Muhammad Fuad bin Matahir.
Awang Muhammad Fuad dalam ceramahnya antara lain mengingatkan kita kepada peristiwa Hijrah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bukan sekadar perpindahan fizikal, malah merupakan simbol pergantungan mutlak kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang membuktikan pertolongan-Nya hadir sewaktu kesukaran.
“Kejayaan besar bermula daripada keyakinan, perancangan teliti, pengorbanan, dan kesabaran.
“Dalam konteks penjawat awam, nilai hijrah dan kemabruran haji menuntut transformasi diri serta peningkatan integriti, keikhlasan, dan tanggungjawab.
“Melalui hubungan yang kukuh dengan Allah, penjawat awam mampu membina daya tahan dan menjadi penyumbang kepada kemakmuran organisasi serta negara," tambahnya.
Acara kemudiannya disemarakkan dengan alunan Dikir Marhaban dan Doa Kesyukuran bagi meraikan 25 orang jemaah haji yang telah selamat kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji.