Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
GADONG, Isnin, 22 Jun. - Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan Majlis Sambutan IlaI Hijrah 1448 diselajurkan dengan Doa Kesyukuran bagi Jemaah Haji PPDB di Surau Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.
Atur cara diserikan dengan ceramah bertajuk 'Hijrah Wira Bertakwa: Memperkukuh Akidah dan Memperkasa Sahsiah yang disampaikan oleh penceramah undangan Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian.
Awang Muhammad Safwan dalam ceramahnya antara lain menjelaskan mengenai hakikat penghijrahan diri sebagai satu proses perubahan berterusan ke arah menjadi insan yang lebih bertakwa, berintegriti dan berakhlak mulia.
Berinspirasikan perjalanan hijrah baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, beliau seterusnya menerangkan bahawa kejayaan sebenar bermula dengan pemerkukuhan akidah, pembinaan hati yang bersih serta pembentukan sahsiah yang unggul.
Beliau seterusnya mengajak warga pasukan beruniform dan penjawat awam, untuk menjadi 'Wira Bertakwa' yang bukan sahaja cemerlang dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab, bahkan sentiasa istiqamah dalam memperkukuhkan akidah, memperkasa sahsiah dan meraih keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.
Acara diteruskan dengan Dikir Marhaban bagi meraikan jemaah haji PPDB, dan penyampaian cenderamata penghargaan kepada penceramah jemputan, diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran bagi kepulangan jemaah haji PPDB.
Juga hadir, pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai, keanggotaan dan kakitangan awam PPDB.