Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Ahad, 21 Jun. - Yakeen NC menjuarai kejohanan Yakin Netball Challenge 2026 selepas berjaya menewaskan Crushers dengan jaringan 35 - 31 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.
Yakeen NC berjaya membawa pulang trofi, pingat dan wang kemenangan berjumlah BND500, manakala Crushers berjaya memperoleh trofi, pingat dan wang kemenangan berjumlah BND300.
Sementara Netseeker dan Unified Netters pula berjaya menduduki tempat ketiga bersama-sama, dengan masing-masing membawa pulang trofi, pingat dan wang kemenangan berjumlah BND100.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh tetamu kehormat majlis, isteri Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres, iaitu Puan Ana Guterres.
Anugerah Most Valuable Player (MVP) telah diberikan kepada Dayang Siti Nornadzeirah binti Nordin daripada Yakeen NC.
Manakala pemain daripada Crushers, iaitu Dayang Nur Syamimi binti Abdul Wahab pula menerima Anugerah Best Shooter, sementara Best Defender diberikan kepada pemain Yakeen NC, iaitu Dayang Siti Norsaihah binti Mohd. Adi Najmi.
Best Mid Court pula menjadi milik Dayangku Nurshafirah Hazliyanie binti Pengiran Hashim daripada Crushers.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yakin Football League (YFL), Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd. Jeffery.
Sementara itu Pengerusi YFL, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang pula menyampaikan penghargaan kepada pengadil perlawanan dan pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan.
Manakala Pengurus Am YFL, Awangku Mohd. Adam Zikry Pengiran Zamri, selaku Pengerusi Kejohanan menyampaikan cenderamata kepada pereka lagu rasmi kejohanan, iaitu Pengiran Mohd. Sallehudin bin Pengiran Sarifudin.
Tetamu kehormat majlis seterusnya mengisytiharkan penutupan rasmi Kejohanan Yakin Netball Challenge 2026 pada akhir majlis.
Kejohanan Yakin Netball Challenge 2026 berkenaan adalah anjuran Yakin Sport dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam (Brunei Netball Association - BNA) buat julung kalinya.