Tanda pengiktirafan, penghargaan kepada pelajar cemerlang



​​Oleh : Khartini Hamir / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 





TUNGKU, Khamis, 18 Jun. – Seramai 176 pelajar daripada sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam kerajaan, swasta dan antarabangsa di seluruh negara menerima anugerah masing-masing mengikut kategori pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, petang tadi.


Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun 2025 berkenaan adalah bagi para pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE Peringkat 'A'; International Baccalaureate (IB); Pearson Edexcel UK/GCE International Advanced Level; Brunei-Cambridge GCE Peringkat 'O' dan IGCSE; Pearson BTEC Level 2 Certificate; dan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).


Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian anugerah berkenaan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.


Majlis diselenggarakan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah, Jabatan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Swasta dan Jabatan Pendidikan Khas dengan kerjasama pihak Cambridge Assessment International Education (CAIE).


Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.


Terdahulu, atur cara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar Tingkatan 6 Bawah dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Awang Muhammad Haziq Zharfan @ Muhaimin bin Mohd. Aidie, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fazlin bin Haji Amdan, selaku Pengerusi Bersama Majlis.


Sejurus itu, majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada para pelajar dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Pemantau Zon 2 Daerah Brunei dan Muara, Awang Haji Muhd. Azrol Alim bin Haji Zaini.


Antara anugerah mengikut kategori yang telah ditetapkan ialah Cambridge Outstanding Achiever Awards Brunei-Cambridge GCE 'A' Level dan Anugerah Pelajar Cemerlang Brunei-Cambridge GCE 'A' Level; Cambridge Outstanding Achiever Awards Brunei-Cambridge GCE 'A' Level; Cambridge Outstanding Achiever Awards Brunei-Cambridge GCE 'O' Level dan Anugerah Pelajar Cemerlang Brunei-Cambridge GCE 'O' Level / IGCSE; Cambridge Outstanding Achiever Awards Brunei-Cambridge GCE 'O' Level; Outstanding Pearson Learner Awards IGCSE dan Anugerah Pelajar Cemerlang Brunei-Cambridge GCE 'O' Level / IGCSE; Anugerah Pelajar Cemerlang Brunei-Cambridge GCE 'A' Level; Anugerah Pelajar Cemerlang International Baccalaureate (IB); Anugerah Khas Brunei-Cambridge GCE 'A' Level; Anugerah Pelajar Cemerlang Brunei-Cambridge GCE 'O' Level / IGCSE; Anugerah Khas Brunei-Cambridge GCE 'O' Level / IGCSE; Anugerah Pelajar Cemerlang Pearson BTEC Level 2 Certificate; Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Sekolah Rendah (PSR); dan Anugerah Khas Penilaian Sekolah Rendah (PSR).


Anugerah pelajar cemerlang merupakan salah satu inisiatif tahunan Kementerian Pendidikan yang bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada para pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik khususnya di dalam peperiksaan awam dan sebagai dorongan serta galakan kepada para pelajar supaya lebih bersemangat untuk meraih kecemerlangan pada masa hadapan.


Melalui Majlis Penganugerahan berkenaan, Kementerian Pendidikan turut memberikan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga atas sokongan dan dorongan yang berterusan kepada anak-anak mereka, di samping memberikan pengiktirafan kepada pihak sekolah atas inisiatif yang dilaksanakan sepanjang tahun dalam mencapai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan awam.


Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Setiausaha-Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan; Naib-Naib Canselor; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan; ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan; pemimpin-pemimpin sekolah serta ibu bapa dan penjaga para pelajar penerima anugerah.


Close