Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 18 Jun. - Seramai 11 anak damit iaitu tujuh anak damit lelaki dan empat anak damit perempuan dilahirkan bagi Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ilal Hijrah 1448. Anak-anak damit yang lahir bermula masuk waktu Maghrib 1 Muharam hingga berakhirnya waktu Asar, 2 Muharam 1448H.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Kemajuan Syiar Islam mengendalikan Majlis Pemberian Hadiah kepada Anak-anak Damit yang Lahir pada 1 Muharam sempena Sambutan Ilal Hijrah 1448 berlangsung di Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu-tetamu khas ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Datin dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Datin.
Turut hadir selaku tetamu khas, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sendirian Berhad dan Datin.
Pemberian hadiah sumbangan KHEU disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan isteri, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.
Manakala Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II dan isteri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa Akaun SiManja BND200 dan hamper keperluan anak damit bernilai BND60.
Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan isteri, Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli juga menyempurnakan pemberian hadiah berupa baucar bernilai BND300 bagi penyertaan TBK Nur Savings dan barang keperluan anak damit.
Hadiah-hadiah anak damit yang lahir pada 1 Muharam 1448H adalah hadiah barangan anak damit bernilai BND200 dan buku ugama sumbangan daripada KHEU; Akaun SiManja BND200 dan hamper keperluan anak damit bernilai BND60 daripada Perbadanan TAIB dan baucar bernilai BND300 bagi penyertaan TBK Nur Savings serta barang keperluan anak damit.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Imam Tingkat II, Masjid Ar Rahman, Kampung Tanjong Bunut, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Mohammad Shahdon bin Awang Damit.
Anak damit pertama yang dilahirkan pada 1 Muharam 1448H ialah pada pukul 6.55 petang, seorang anak damit lelaki seberat 2.620 kilogram dari Daerah Brunei dan Muara. Anak damit tersebut merupakan anak kepada pasangan Dayang Nurol Faezatul Aqillah binti Awang Mohammad Ali dan Awang Mohammad Jeratailah bin Jukin.
Kelahiran anak-anak damit pada Sambutan Ilal Hijrah ini diraikan dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dalam memperingati kedatangan hari yang baik dan bersejarah dalam Islam. Ia juga menjadikan takwim Hijrah terus mendapat tempat penggunaannya dari semasa ke semasa.