Terus memperkukuh kerjasama bagi manfaat kedua-dua buah negara




Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad

 





KAZAN, PERSEKUTUAN RUSIA, Rabu, 17 Jun. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin, yang diadakan di Kazan, Persekutuan Rusia.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.


Semasa Majlis Perjumpaan Dua Hala tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah dengan menzahirkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Vladimir Putin kerana menghoskan Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia.


Kebawah DYMM seterusnya bertitah, sudah lebih satu dekad sejak keberangkatan terakhir ke Persekutuan Rusia, baginda turut mengimbas kembali keberangkatan dan pertukaran lawatan sebelum ini, termasuk mengalu-alukan TYT Vladimir Putin ke Negara Brunei Darussalam (NBD) semasa Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC pada tahun 2000 dan penyertaan TYT Vladimir Putin secara dalam talian semasa NBD menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2021.


Dalam titah, Kebawah DYMM juga menekankan mengenai hubungan dua hala antara NBD dan Persekutuan Rusia, dan tahun ini amat bermakna memandangkan kedua-dua negara akan memperingati Ulang Tahun Ke-35 hubungan diplomatik pada bulan Oktober nanti.


“Hubungan tersebut telah berkembang menjadi kerjasama yang kukuh dan substantif dalam pelbagai bidang utama seperti pendidikan, pertahanan, keselamatan serta pertukaran antara rakyat.


 “Pada masa yang sama, kemajuan yang berterusan juga telah dicapai melalui Kumpulan Kerja Bersama dan Perbincangan Staf Tentera Laut," titah baginda lagi.


Dalam hubungan ini, Kebawah DYMM bertitah menekankan kepentingan untuk memperkukuh lagi kerjasama, termasuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama Tentera Laut serta beberapa perjanjian lain yang masih dalam pertimbangan, bagi menjana manfaat yang nyata kepada kedua-dua negara.


Kebawah DYMM juga bertitah mengalu-alukan para pelajar Persekutuan Rusia untuk mempertimbangkan NBD sebagai destinasi pengajian mereka bagi mengukuhkan lagi pertukaran antara rakyat serta bagi syarikat-syarikat Persekutuan Rusia untuk meneroka peluang pelaburan di NBD dalam bidang seperti industri hiliran minyak dan gas, makanan, perkhidmatan, pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).


Di samping itu, Kebawah DYMM bertitah berharap agar Persekutuan Rusia akan menyokong usaha Pusat Perubahan Iklim ASEAN di NBD apabila pusat tersebut mula beroperasi.


Menyentuh mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, Kebawah DYMM bertitah merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Persekutuan Rusia terhadap ASEAN Centrality dan berpandangan bahawa Hubungan Dialog merupakan platform penting bagi menggalakkan penglibatan yang konstruktif.


Dalam perkara ini, baginda bertitah berharap kerjasama antara NBD dan Persekutuan Rusia akan terus diperkukuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta forum-forum pelbagai hala yang lain dalam usaha menegakkan undang-undang antarabangsa yang berasaskan peraturan.


Dalam titah, Kebawah DYMM juga menyatakan kebimbangan yang mendalam mengenai krisis di Timur Tengah, khususnya berhubung isu Palestin, dan menegaskan semula sokongan terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka berdasarkan penyelesaian dua negara serta sempadan sebelum tahun 1967.


Dalam menyeru agar pertikaian dihentikan serta-merta dan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza diberikan tanpa halangan, Kebawah DYMM menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Persekutuan Rusia dalam memperjuangkan isu Palestin.


Baginda bertitah turut menegaskan kedudukan teguh NBD yang menentang penggunaan kekerasan dalam situasi yang melibatkan Republik Islam Iran, sekali gus menyeru semua pihak untuk melibatkan diri secara tulus ikhlas dalam diplomasi dan dialog demi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.


Kebawah DYMM juga bertitah menyatakan harapan agar usaha-usaha diplomatik dapat membantu melindungi perdagangan, mengurangkan ketegangan serantau bagi penyelesaian yang aman dan segera di rantau berkenaan, termasuk Selat Hormuz.


Pada mengakhiri titah, Kebawah DYMM merakamkan penghargaan kepada TYT atas komitmen TYT dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua buah negara, serta mengundang TYT untuk mengadakan Lawatan Negara ke NBD.


NBD dan Persekutuan Rusia menjalinkan hubungan diplomatik pada 1 Oktober 1991, dan menikmati hubungan yang mesra dan baik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pertahanan, pendidikan, budaya serta pertukaran rakyat.


Close