Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri Thailand




Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Azmah Haji Ahad





KAZAN, PERSEKUTUAN RUSIA, Rabu, 17 Jun. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Anutin Charnvirakul yang berlangsung di Kazan, Persekutuan Rusia, hari ini.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.


Semasa Majlis Perjumpaan tersebut, kedua-dua pemimpin telah berbincang mengenai hubungan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Thailand dalam bidang perdagangan, bekalan makanan dan pertukaran antara rakyat.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga mengundang Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Thailand untuk mengadakan lawatan ke NBD.


NBD dan Thailand menjalinkan hubungan diplomatik pada 1 Januari 1984, dan menikmati hubungan kerjasama dua hala yang erat dan mesra dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan, pertahanan, budaya, sekuriti makanan serta pertukaran rakyat.


Close