Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
TEMBURONG, Selasa, 16 Jun. - Bagi menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam yang termaktub dalam Taqwim Hijrah, iaitu Sambutan Tahun Baharu Hijrah, Negara Brunei Darussalam menyambut Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1448 di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat di seluruh negara lewat petang tadi.
Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah 1448 Peringkat Daerah Temburong turut diadakan lewat petang tadi di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong.
Hadir ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Kira-kira 250 orang hadir memeriahkan majlis tersebut, terdiri daripada ketua-ketua cawangan jabatan, para pegawai dan kakitangan jabatan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, ahli Persatuan Saudara Baharu Temburong (PESAT), guru-guru Sekolah Ugama dan Sekolah Arab (Lelaki dan Perempuan), serta anggota pasukan beruniform.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah 1447 dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid dan Imam Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Awang Mohammad Syahmi bin Haji Zaini.
Acara disusuli dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.
Seterusnya, para jemaah bersama-sama membaca Doa Awal Tahun Hijrah 1448, yang dipimpin oleh Imam Tingkat III, Masjid Utama Mohammad Salleh, Awang Norezam bin Zaini.
Majlis diteruskan dengan Sembahyang Sunat Ba'diah Maghrib dan Sembahyang Sunat Hajat secara berjemaah, sebelum diakhiri dengan Bacaan Doa Selamat.
Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah pada tahun ini bertemakan 'Hijrah Penyelamat Aqidah'.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memohon keberkatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala sempena berakhirnya tahun hijrah yang lalu dan menyambut kedatangan tahun hijrah yang baharu.
Di samping itu, majlis ini juga bertujuan menghayati peristiwa hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai asas pengukuhan akidah, peningkatan keimanan serta pembentukan akhlak dan sahsiah yang mulia dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, majlis ini diharap dapat mengeratkan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat, di samping menerapkan nilai-nilai murni yang bermanfaat dalam kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.
Semoga usaha ini akan terus menyemarakkan sambutan Ilal Hijrah Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi di Daerah Temburong serta menjadi pemangkin ke arah pembentukan masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran Islam dan nilai-nilai kebangsaan.