Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Jun. – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah berharap agar mekanisme penyelarasan ini akan terus memperkukuhkan pendekatan Whole-of-Government yang sentiasa baginda tekankan dalam usaha mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah dengan tempoh yang berbaki kurang daripada satu dekad, setiap kementerian tidak boleh lagi bergerak secara terpencil (silo).
“Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah menjadi penghubung utama dan menyatukan segala usaha, keutamaan dan tindakan kerajaan ke arah mencapai matlamat yang sama demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada Rang Titah Penutup Kebawah DYMM sempena Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Ke-92 yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Kebawah DYMM seterusnya bertitah menegaskan, peranan dan tanggungjawab Menteri-Menteri Penyelaras yang telah dilantik dalam rombakan kabinet yang lalu. Jawatan Menteri Penyelaras bukan sekadar satu gelaran, tetapi merupakan satu amanah yang penting untuk memastikan kementerian-kementerian di bawah sektor keselamatan negara, ekonomi, sosial dan tenaga manusia bergerak seiring dengan matlamat yang dihasratkan.
“Dalam konteks ini, Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah berfungsi sebagai peneraju utama dalam menyelaras isu-isu merentas kementerian atau 'cross-cutting issues' yang melibatkan sektor-sektor di bawah bidang kuasa masing-masing.
“Mereka bertanggungjawab memastikan agar jurang pelaksanaan antara kementerian tidak dibiarkan melebar.
“Bagi membolehkan peranan ini dilaksanakan dengan lebih berkesan, beta telah memberikan mandat kepada Menteri-Menteri Penyelaras untuk mengeluarkan arahan yang bersesuaian bagi menyelaraskan tindakan Kementerian-Kementerian berkenaan apabila berhadapan dengan isu-isu kepentingan negara yang bersifat 'cross-cutting'," titah baginda lagi.
Walau bagaimanapun titah Kebawah DYMM lagi, dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, Menteri-Menteri Penyelaras hendaklah memastikan bahawa sebarang keputusan yang melibatkan penggubalan dasar baharu, perubahan dasar yang mempunyai implikasi strategik kepada negara, peruntukan atau pengagihan sumber yang signifikan, serta penyelarasan antara kementerian dan agensi yang memberi kesan besar terhadap kepentingan negara, terlebih dahulu mendapatkan perkenan baginda.
Dalam hubungan ini, Kebawah DYMM bertitah mahu melihat setiap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan sasaran yang telah diperkenankan disusuli dengan tindakan yang jelas, terarah dan berfokus. Setiap kementerian hendaklah memastikan bahawa KPI dan sasaran yang telah diperkenankan diterjemahkan kepada pelan tindakan yang konkrit, lengkap dengan garis masa pelaksanaan, penetapan tanggungjawab yang jelas serta mekanisme pemantauan yang berkesan.
“Alhamdulillah, dengan itu berakhirlah Persidangan Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet yang pertama bagi penggal ini.
“Beta amat gembira mendengar pembentangan-pembentangan yang telah disampaikan serta pandangan-pandangan yang telah dikemukakan. Pembentangan-pembentangan tersebut memberikan gambaran yang jelas mengenai hala tuju, keutamaan dan fokus kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan negara," titah baginda lagi.