Siaran Akhbar : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 15 Jun. - 15 Jun merupakan Hari Denggi ASEAN, yang disambut setiap tahun sebagai usaha bersama negara-negara ASEAN untuk meningkatkan kesedaran dan menekankan kepentingan menangani beban penyakit denggi dengan kerjasama orang ramai, mengukuhkan kapasiti, dan menggalakkan tindakan kolektif pihak-pihak berkepentingan bagi mengurangkan jangkitan penyakit denggi.
Pada tahun ini, Sambutan Hari Denggi ASEAN membawa tema 'ASEAN Bersatu: Tiada Kematian Denggi - Masa Depan yang Kita Bina Bersama Menjelang 2030' (ASEAN United: Zero Dengue Deaths - A Future We Build Together By 2030), yang memfokuskan kepada peningkatan kesedaran dan pengukuhan kerjasama serta tindakan bersepadu semua pihak.
Perkara berkenaan diterangkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN 2026.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menerangkan bahawa pendekatan bersepadu yang mampan, disokong oleh pengawasan penyakit denggi yang proaktif, pengurusan vektor nyamuk secara menyeluruh, serta penglibatan aktif semua pihak berkepentingan termasuk masyarakat, di samping tindak balas yang pantas dan berkesan, merupakan elemen penting dalam memperkukuhkan pengurusan, pencegahan dan kawalan penyakit denggi secara berkesan dan berkekalan di seluruh Negara Anggota ASEAN.
Denggi merupakan antara penyakit bawaan nyamuk yang paling lazim di seluruh dunia, dengan anggaran 390 juta jangkitan setiap tahun, ujar Yang Berhormat.
Penyakit berkenaan, jelas Yang Berhormat, terus menjadi beban yang besar dari segi morbiditi dan kematian di peringkat global. Dalam tempoh dua dekad yang lalu, insiden denggi telah meningkat dan menjadi cabaran kesihatan awam yang ketara di seluruh dunia.
Di Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa penyakit denggi merupakan penyakit endemik.
“Kadar jangkitan sering berubah dari setahun ke setahun dan menunjukkan trend peningkatan kes setiap beberapa tahun.
“Purata jumlah kes penyakit denggi dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ialah sebanyak 54 kes setahun, manakala jumlah kes tertinggi ialah sebanyak 119 kes yang dicatatkan pada tahun 2019, diikuti oleh 100 kes pada tahun 2024," tambah Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat kemudiannya menjelaskan bahawa denggi disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti, dan nyamuk Aedes telah dikenalpasti sebagai vektor utama penularan denggi di negara ini.
Kebanyakan kes denggi mengalami gejala ringan atau tidak menunjukkan sebarang gejala, ujar Yang Berhormat.
Antara gejala yang dialami, jelas Yang Berhormat lagi, termasuklah demam panas, sakit kepala, sakit otot, mual, muntah dan ruam. Walau bagaimanapun, sebahagian kecil pesakit boleh mengalami denggi yang teruk seperti pendarahan gusi, hidung, atau muntah berdarah, sakit perut yang teruk, keletihan, kelemahan.
Dalam pada itu, Yang Berhormat turut menjelaskan Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuhkan usaha pemantauan dan kawalan penyakit bawaan nyamuk.
Ini termasuk meningkatkan kesiapsiagaan sistem kesihatan dan pemantauan penyakit bawaan nyamuk, pemantauan vektor nyamuk, mempertingkatkan kesedaran orang awam dalam semua peringkat umur termasuk murid-murid sekolah dan orang dewasa, serta memperluaskan kerjasama dengan pelbagai agensi dan orang ramai dalam usaha mengawal jangkitan penyakit denggi, terang Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya menegaskan pencegahan merupakan asas penting dalam mengurangkan risiko jangkitan denggi.
Langkah-langkah mudah, ujar Yang Berhormat, seperti memastikan kebersihan persekitaran, membuang atau menutup tempat-tempat takungan air, membersihkan longkang, dan menukar air dalam bekas tanaman secara berkala boleh membantu mengurangkan pembiakan nyamuk.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengekalkan kebersihan persekitaran bagi memastikan pencegahan dan kawalan penyakit denggi yang lebih berkesan.
“Ini memerlukan penglibatan dan kerjasama seluruh masyarakat bagi memastikan persekitaran kita bersih dan selamat.
“Penyemburan racun serangga hanyalah langkah kawalan sementara, manakala bagi kawalan jangka panjang yang lebih berkesan, mengekalkan persekitaran yang bersih dan memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk adalah lebih penting," terang Yang Berhormat.
Di samping itu, Yang Berhormat turut menerangkan, cara-cara untuk melindungi diri daripada jangkitan denggi termasuklah memakai pakaian berlengan dan seluar panjang yang berwarna terang, menggunakan ubat penghalau nyamuk, dan mengelakkan aktiviti luar pada waktu nyamuk aktif, iaitu pada waktu subuh dan senja.
“Marilah kita bersama-sama membaharui komitmen untuk melindungi keluarga dan masyarakat daripada jangkitan penyakit denggi serta memperkukuhkan budaya kebersihan, meningkatkan kesedaran kesihatan dan mempererat kerjasama dalam membina masyarakat yang lebih sihat dan selamat, di samping mengurangkan jangkitan penyakit denggi.
“Dengan semangat 'ASEAN Bersatu: Tiada Kematian Denggi - Masa Depan yang Kita Bina Bersama Menjelang 2030', bersama-sama kita lindungi generasi hadapan daripada ancaman penyakit denggi," ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.