Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 14 Jun. - Kejayaan Hijrah bukan suatu kebetulan, tetapi hasil perancangan yang rapi melalui pengurusan bakat yang luar biasa. Peristiwa agung berkenaan memberi inspirasi dan pelan tindakan yang sangat relevan dalam usaha merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Belia bukan sekadar pemegang kunci masa depan, tetapi enjin penggerak hari ini. Sudah tiba masanya generasi muda berhijrah daripada menjadi pengguna teknologi kepada pencipta solusi demi kemajuan negara.
Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk 'Semangat Hijrah : Inspirasi Menuju Wawasan Brunei 2035' yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Sekolah Arab Belait, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Ahmad Za'aim bin Haji Bagol, bagi menyerikan Malam Munajat anjuran KHEU Kali Ke-233, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, wanita adalah arkitek utama di sebalik tabir kejayaan. Kisah Sayyidatina Asma' binti Abu Bakar R.A. mengajar pentingnya kreativiti, ketangkasan dan kebolehan menyelesaikan masalah dalam menghadapi cabaran semasa.
Tambahnya, negara memerlukan lebih ramai individu yang profesional, amanah dan berkemahiran tinggi untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.
Menyemarakkan Program Malam Munajat berkenaan ialah ahli jawatankuasa (AJK) takmir, para belia dan jemaah Masjid Kampung Belais, Temburong serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara.
Turut menyertai, warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program berkenaan secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pemangku Penghulu Mukim Zon 2 Daerah Temburong, Awang Mohammad Afnan bin Haji Gapor, juga Ketua Kampung Belais dan Buda-Buda, Daerah Temburong, yang bersiaran dari Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Ahmad Mukarram bin Madeli, belia Masjid Kampung Belais. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Imam Tingkat IV, Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), KHEU, Awang Mohammad Safwan bin Zolkipli.
Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Ugama Bokok, Temburong, JPI, KHEU, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamzah.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Bilal Tingkat II, Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong, JHEM, KHEU, Awang Mohammad Saiful Bahrin bin Haji Yunos.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Orang ramai adalah dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan 'http://tiny.cc/munajatkheu'.