Projek Penetasan Penyu memperkukuh pemuliharaan hidupan marin





Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi





MERAGANG, Ahad, 14 Jun. - Poni Foundation hari ini melancarkan TRACKS Brunei bagi Projek Perintis Pusat Penetasan Penyu untuk memperkukuh pemuliharaan hidupan liar marin (Turtle Hatchery) di Marine Biodiversity Centre, Meragang, sebagai sebahagian daripada Minggu Lautan Brunei 2026 (Ocean Week Brunei 2026 - OWB 2026) bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2026 (MYCE 2026).


Majlis yang dianjurkan oleh Poni Foundation dengan sokongan Poni Group dan rakan utama, Bank Baiduri, menandakan permulaan kerja-kerja tapak bagi projek pemuliharaan yang memberi tumpuan kepada perlindungan penyu, penjagaan kawasan pesisir pantai, pemantauan, pendidikan serta penglibatan komuniti secara bertanggungjawab.


Berkenan berangkat menyertai, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.


Turut berangkat ialah anakanda-anakanda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.


Turut hadir ialah wakil-wakil daripada Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri; Jabatan Perikanan; Bank Baiduri; para penaja, rakan kerjasama, sukarelawan serta anggota komuniti OWB 2026.


TRACKS Brunei, singkatan bagi Tracking, Research, Awareness, Conservation and Knowledge for Sustainable Livelihoods (Penjejakan, Penyelidikan, Kesedaran, Pemuliharaan dan Pengetahuan Kehidupan Mampan), merupakan salah satu projek perintis ekonomi biru utama di bawah Poni Foundation.


Inisiatif berkenaan bermula dengan pemuliharaan penyu dan direka untuk berkembang menjadi sebuah platform yang lebih luas bagi hidupan marin dan biodiversiti di Negara Brunei Darussalam (NBD), dengan potensi pada masa hadapan untuk merangkumi Dugong, Jerung Paus, ikan lumba-lumba serta habitat hidupan pesisir lain seperti rumpai laut.


Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Poni Foundation dan Ketua Pegawai Eksekutif Poni Group, Awang Mohd. Tahsin Wong Abdullah yang antara lain menyembahkan bagaimana lautan telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak berusia 15 tahun melalui aktiviti menyelam dan snorkel di perairan NBD.


Beliau mengimbau kembali bagaimana Pelong Rock suatu ketika dahulu dipenuhi dengan kehidupan marin, dengan terumbu karang, giant clams dan anak Jerung Terumbu Sirip Hitam, namun dari tahun ke tahun, beliau melihat semakin berkurangnya penampakan dan kurangnya hidupan laut.


Awang Mohd. Tahsin Wong Abdullah juga menyembahkan, keadaan berkenaan menimbulkan persoalan penting kepada pasukan : ke manakah perginya penyu-penyu NBD? Walaupun penyu sering kelihatan di pantai Sabah dan Sarawak, terdapat jauh lebih sedikit penampakan dan penyelidikan mengenai penyu di pantai NBD.


"Di kawasan perairan NBD juga boleh ditemui Jerung Paus, ikan lumba-lumba, memerang sungai serta hidupan marin lain, termasuk Dugong di bahagian lain Teluk Brunei, yang sebahagian besarnya masih kurang dikaji dan membuka peluang penyelidikan yang menarik," sembahnya lagi.


Sembah Awang Mohd. Tahsin Wong Abdullah lagi, pembangunan TRACKS Brunei bermula melalui pemerhatian lapangan, tinjauan pantai dan perbincangan dengan pakar serta komuniti tempatan. Pengarah Eksekutif Poni Faundation, Ann Williams, mula menjalankan tinjauan di Pantai Meragang pada Oktober tahun lalu sambil berinteraksi dengan pakar penyu antarabangsa dan penduduk tempatan, manakala Ketua Sains Marin Poni Foundation, Amanda Young, meneruskan kerja lapangan di sepanjang pesisir pantai NBD.


Pasukan berkenaan sembahnya lagi, menemui kesan jejak penyu, tulang, bangkai serta tanda-tanda tekanan terhadap kawasan penetasan termasuk kenderaan di pantai, sisa marin seperti kayu hanyut dan sampah yang menjadikan kawasan penetasan tidak sesuai. Usaha berkenaan turut melibatkan pembelajaran dari Sabah Wildlife di Turtle Island, Sabah serta jaringan kerjasama dengan saintis penyu dari Sarawak Forestry Corporation.


Awang Mohd. Tahsin Wong Abdullah juga menyatakan bahawa TRACKS Brunei bermula dengan penyu, namun ia bukan hanya mengenai penyu semata-mata. Sebaliknya, ia bertujuan membangunkan sistem hidupan liar marin komuniti bersepadu pertama di NBD yang menggabungkan kerja lapangan, teknologi, pendidikan, pekerjaan komuniti serta pemuliharaan jangka panjang.


Projek berkenaan sembahnya lagi, bertujuan meneroka penggunaan dron, Kecerdasan Buatan (AI), sensor Internet Pelbagai Benda (Internet of Things - IoT), perakam data (data logger), kamera perangkap, penjejak satelit, perakam bunyi bawah air dan ujian eDNA untuk memahami lokasi hidupan marin, pergerakannya serta keperluan mereka untuk terus hidup.


Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa teknologi sahaja tidak mencukupi dan matlamat sebenar projek berkenaan adalah untuk membina semula habitat yang lebih baik bagi hidupan liar melalui pantai yang lebih bersih, kualiti air yang lebih baik, perlindungan kawasan pesisir serta penglibatan komuniti yang lebih kukuh.


Beliau seterusnya menyembahkan mengenai peluang yang lebih luas untuk NBD menjadi sebuah 'Negara Perlindungan' (Sanctuary Nation), iaitu sebuah negara yang bukan sahaja melindungi alam semula jadi, malah menjadikannya sebagai peluang usaha pemuliharaan melalui pusat penetasan yang diuruskan oleh komuniti, program pendidikan dan penyelidikan, penglibatan belia serta pekerjaan dalam bidang pemuliharaan.


Manakala Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha, berkata bahawa pusat penetasan penyu merupakan satu pencapaian penting dalam pemuliharaan salah satu spesies marin NBD serta pelaburan bermakna untuk masa depan alam sekitar negara.


Sebagai rakan utama, Bank Baiduri menyatakan bahawa projek berkenaan menyumbang kepada perlindungan biodiversiti sambil menggalakkan kesedaran dan tanggungjawab yang lebih besar terhadap alam sekitar.


Beliau turut menegaskan bahawa kelestarian bukan sahaja berkaitan dengan apa yang dilakukan pada hari ini, tetapi juga mengenai legasi yang ditinggalkan untuk generasi akan datang.


Selain aspek pemuliharaan, beliau turut menekankan bahawa ekosistem yang sihat mampu menyokong pelancongan mampan, pendidikan, penyelidikan, penglibatan masyarakat tempatan serta peluang pekerjaan. Ini menunjukkan bahawa penjagaan alam sekitar dan pembangunan komuniti boleh bergerak seiring dalam mencapai manfaat bersama.


Dalam ucapan penutupnya, Ketua Sains Marin Poni Foundation yang juga Ketua Projek TRACKS Brunei, Amanda Young, berkongsi bahawa usaha pemuliharaan penyu di NBD melibatkan tinjauan lapangan yang meluas, aktiviti awal pagi, lewat malam serta berkhemah semalaman untuk mencari tanda kehadiran penyu di sepanjang pantai.


Beliau berkata, pasukan berkenaan perlu berjalan sejauh 250 kilometer sebelum menemui kesan jejak penyu pertama di NBD. Sejak itu, mereka terus mengumpul petunjuk melalui jejak, tulang, bangkai dan cerita daripada komuniti yang masih mengingati lokasi penyu bertelur atau masih mendarat hingga ke hari ini.


Amanda Young berkata, bukti lapangan menunjukkan bahawa penyu di NBD masih wujud, namun turut menekankan bahawa tiada data saintifik diperoleh selama kira-kira 18 tahun berikutan kurangnya penampakan penyu sejak awal tahun 2000-an. Pemantauan jangka panjang diperlukan bagi memahami aktiviti penetasan, ancaman dan keperluan pemuliharaan dengan lebih baik.


Beliau turut menjelaskan bahawa ramai orang masih tidak mengetahui rupa jejak penyu, tindakan yang perlu diambil apabila menemui penyu atau bagaimana cahaya terang, bunyi bising, pemanduan, haiwan, pembangunan pesisir, sampah dan gangguan boleh menjejaskan kejayaan penetasan.


Pusat penetasan penyu sedang dibangunkan sebagai langkah praktikal pertama. Dalam jangka pendek, ia akan membantu memperkukuh perlindungan sarang, meningkatkan pemantauan, menyokong pemindahan secara bertanggungjawab apabila diperlukan dan menyediakan ruang yang lebih selamat untuk telur yang berisiko. Dalam jangka panjang, ia diharapkan menjadi pusat pemuliharaan penyu, pendidikan pesisir, penyelidikan, penglibatan belia dan penyertaan komuniti.


Pelancaran berkenaan diadakan bersempena dengan aktiviti pembersihan pantai di Pantai Meragang yang membawa tema 'Protecting Brunei's Beaches, One Cleanup at a Time'. Aktiviti berkenaan berjaya menghimpunkan lebih 350 peserta, termasuk sukarelawan, belia, rakan kerjasama dan orang awam, yang berjaya mengumpulkan sebanyak 1,356 kilogram sampah dari kawasan pantai.


Aktiviti pembersihan berkenaan menekankan hubungan rapat antara kebersihan pantai dan pemuliharaan penyu. Sisa buangan di kawasan pesisir, pencahayaan yang terang, gangguan serta aktiviti yang tidak terkawal boleh menjejaskan habitat pendaratan penyu untuk bertelur dan mengurangkan peluang kejayaan proses pembiakan berkenaan.


Program berkenaan juga menunjukkan bahawa sekolah, kumpulan belia, syarikat, keluarga dan individu semuanya mempunyai peranan dalam melindungi pantai serta hidupan marin NBD.


Poni Foundation menegaskan bahawa pusat penetasan penyu harus dilihat sebagai aset perlindungan dan pendidikan, bukannya tarikan pelancongan yang menggalakkan interaksi penyu secara tidak terkawal.


Orang ramai diingatkan supaya tidak mengganggu sarang penyu, memasuki kawasan pendaratan yang dihadkan, menggunakan lampu terang berhampiran pantai tempat penyu bertelur, memandu kenderaan di kawasan pantai yang sensitif, atau mengendalikan penyu tanpa kebenaran pihak berkuasa.


Melalui TRACKS Brunei, Poni Foundation berhasrat membina sistem pemuliharaan hidupan marin yang lebih kukuh dengan menggabungkan perlindungan habitat, pemantauan, pendidikan, teknologi dan penyertaan komuniti. Inisiatif berkenaan turut menyokong visi lebih luas OWB 2026 yang memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan kesedaran mengenai lautan kepada tindakan praktikal, sumber pendapatan komuniti dan peluang ekonomi biru masa depan.


Selepas Majlis Pecah Tanah, projek akan memasuki fasa penyediaan tapak, perancangan pembinaan pusat penetasan, reka bentuk pemantauan dan aktiviti pendidikan awam, dengan peluang pada masa depan untuk sukarelawan, sekolah, kumpulan belia, penyelidik, rakan kerjasama dan penaja menyokong usaha pemuliharaan serta pendidikan di bawah TRACKS Brunei.


Pasukan berkenaan turut menekankan bahawa orang ramai perlu mengambil tindakan untuk memastikan pantai NBD sentiasa bersih kerana ia merupakan habitat penetasan penyu, dan menggalakkan sesiapa yang melihat penyu, jejak penyu, telur penyu atau mempunyai maklumat berkaitan penyu di NBD supaya menghubungi talian +673 8169322 bagi menyokong usaha pemuliharaan marin.


Melalui pelancaran TRACKS Brunei dan Projek Perintis Pusat Penetasan Penyu, Poni Foundation berharap dapat menginspirasikan lebih ramai orang untuk mengambil bahagian dalam melindungi hidupan marin NBD, bukan sahaja semasa OWB tetapi sepanjang tahun.

Close