Memupuk kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan, kelestarian lautan




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




SALAMBIGAR, Sabtu, 13 Jun. - Pameran Laut Brunei 2026 (Brunei Ocean Exhibition 2026 - BEX 2026) secara rasminya dilancarkan hari ini di OneCity Shopping Centre sebagai sebahagian daripada Minggu Lautan Brunei 2026, sekali gus membawa pelbagai pameran, aktiviti dan pengalaman pembelajaran berkaitan lautan kepada orang ramai.


Pameran yang bermula pada 12 Jun itu dianjurkan oleh Poni Group bersempena Minggu Lautan Brunei dan Persidangan serta Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2026 dengan matlamat meningkatkan kesedaran awam mengenai kelestarian lautan serta memperkenalkan kisah maritim Brunei, usaha-usaha pemuliharaan dan peluang dalam ekonomi biru kepada masyarakat.


Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pameran berkenaan ialah Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.


Pelbagai pengisian telah diadakan sempena pelancaran tersebut, antaranya ucapan pembukaan dan alu-aluan, pelancaran buku fotografi selam hasil karya Ram Yoro, pembentangan mengenai kapal-kapal karam di perairan Brunei dan Borneo, penyampaian hadiah Pertandingan Foto Seni Laut Brunei serta majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihak penganjur dan Sabah Wetlands Conservation Society, yang juga dikenali sebagai KK Wetlands.


Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden Poni Foundation dan Ketua Pegawai Perniagaan Poni Group, Anne Aziz menjelaskan bahawa pameran berkenaan mempunyai makna yang istimewa kerana berupaya membawa lautan lebih dekat kepada masyarakat.


Menurut beliau, tidak semua orang berpeluang untuk menyelam, mengunjungi kawasan laut atau meneroka ekosistem paya bakau.


Oleh itu, melalui seni, fotografi, bengkel, sesi perkongsian dan penceritaan, BEX 2026 diharap dapat membantu orang ramai memahami serta menghargai kepentingan lautan dengan lebih mendalam.


Beliau turut menekankan bahawa hubungan Brunei dengan laut dan sungai telah lama menjadi sebahagian daripada identiti negara, bermula daripada kewujudan Kampong Ayer dan komuniti sungai hinggalah kepada kawasan pesisir pantai, hutan bakau dan tapak kapal karam yang terdapat di seluruh negara.


Sehubungan itu, pameran tersebut turut menggalakkan golongan belia melihat lautan bukan sahaja sebagai khazanah alam yang perlu dipelihara, malah sebagai sumber peluang dalam bidang kerjaya, kreativiti, pelancongan, pemuliharaan dan pelbagai industri baharu yang berkaitan dengan ekonomi biru.


Sementara itu, antara tarikan utama semasa pelancaran ialah pengenalan buku fotografi selam bertajuk 'What Lies Beneath Borneo' hasil karya jurugambar bawah air dan penyelam teknikal terkenal, Ram Yoro.


Buku yang mengambil masa tujuh tahun untuk dihasilkan itu memfokuskan kepada kapal-kapal karam yang terdapat di perairan Brunei dan Borneo.


Melalui gabungan fotografi dan penyelidikan, ia mendokumentasikan sejarah bawah laut, warisan maritim, lokasi kapal karam yang tersembunyi serta kepelbagaian hidupan marin yang menghuni perairan rantau ini.


Pameran Laut Brunei 2026 menampilkan pelbagai pameran pemuliharaan, seni lautan, fotografi, filem, ceramah awam dan bengkel kreatif yang direka khas untuk semua lapisan masyarakat, sekali gus memperkukuhkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan dan kelestarian lautan untuk generasi akan datang.


Close