Program Sua Muka eratkan hubungan rakyat dengan kerajaan




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





BELAIT, Sabtu, 13 Jun. - Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Komunikasi Strategik, hari ini mengadakan Program Sua Muka bersama Kampung Bukit Sawat dan Rumah Panjang Malayan bertempat di Dewan Serbaguna, Mukim Bukit Sawat, di sini.


Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini. Manakala bagi pihak Kampung Bukit Sawat diketuai oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara iaitu Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat dan bagi Rumah Panjang Malayan diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat / Mematai-matai Rumah Panjang Malayan.


Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.


Di samping itu, Program Sua Muka adalah salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.


Program juga diisikan dengan penyampaian maklumat kepada penduduk-penduduk kampung daripada Jabatan Penerangan mengenai 'Kesedaran Awam terhadap Penyebaran Maklumat Palsu' dan Jabatan Tenaga mengenai 'Usaha Kerajaan dalam Memperkenalkan Renewable Energy / Tenaga Baharu (Solar System)'.


Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan, yang antara lain berkaitan dengan prasarana, keselamatan dan kemudahan awam.


Close