Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 13 Jun. - Bagi memastikan kelancaran Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Awal Tahun 1448 Hijrah Peringkat Negara, satu raptai penuh telah diadakan pagi tadi di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Hadir bagi menyaksikan raptai tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah.
Turut hadir ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Masyarakat Islam di seluruh dunia bakal menyambut ketibaan Awal Tahun 1448 Hijrah. Di Negara Brunei Darussalam, sambutan tersebut lazimnya diraikan secara besar-besaran sebagai usaha mengembangkan dan menyebarluaskan syiar Islam, di samping memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah.
Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Awal Tahun 1448 Hijrah Peringkat Negara akan diadakan pada Selasa malam Rabu, 1 Muharam 1448 Hijrah bersamaan 16 Jun 2026, bermula jam 5 petang di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara.
Tumpuan utama majlis ialah di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan; Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Antara pengisian utama majlis ialah bacaan Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun 1448 Hijrah.
Majlis berkenaan dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Kewangan; Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; dan Bank Baiduri.
Tema sambutan pada tahun ini ialah 'Hijrah Penyelamat Akidah'.
Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir bagi sama-sama memeriahkan majlis tersebut serta meraih keberkatan dan keredaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.