Pemantauan memulakan bacaan Al-Quran di Permata Hijau



​​


Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman 




 

TEMBURONG, Khamis, 11 Jun. - Kelancaran bacaan ayat suci Al-Quran bagi Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam tidak ketinggalan juga dijalankan di bumi Permata Hijau bertempat di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, hari ini.


Majlis Pemantauan Memulakan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Penuntut-penuntut Sekolah Seluruh Negara itu diadakan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 bagi Tahun 2026.


Sehubungan itu, pemantauan bacaan para peserta sendiri disaksikan secara dekat oleh Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin yang juga mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai.


Juga hadir, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.


Para peserta yang mewakili Daerah Temburong pada tahun ini dicatatkan seramai 334 penyertaan yang terdiri daripada Majlis Perundingan Kampung (MPK), iaitu 35 lelaki dewasa, 30 belia, 35 perempuan dewasa dan 30 beliawanis, manakala  dari Kementerian Pendidikan seramai 45 lelaki dan 45 perempuan. 


Sementara Kategori Kanak-kanak dari Jabatan Pengajian Islam diwakili seramai 52 lelaki dan 52 perempuan, manakala Pertubuhan WARGAMAS pula seramai 10 peserta, iaitu lima lelaki dan lima perempuan.


Terdahulu, Sembahyang Fardu Asar Berjemaah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar, Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini yang juga kemudiannya membacakan Doa Selamat.


Majlis Pemantauan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran berkenaan adalah kesinambungan daripada Majlis Pelancaran Memulakan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam yang telah dilancarkan April lalu di masjid-masjid terpilih di setiap daerah.


Close