Majlis Pecah Tanah, Doa Kesyukuran bagi pembaikan, penggantian tapak stesen minyak



​​

Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

 




MUKIM LUMAPAS, Khamis, 11 Jun. - Stesen Minyak Koperasi Tasamul Mukim Lumapas Berhad yang sudah pun memulakan kerja-kerja pembaikan dan seterusnya penggantian kawasan tapak stesen berkenaan akan dijangka siap sepenuhnya nanti pada tahun hadapan.


Sehubungan itu, Majlis Pecah Tanah dan Doa Kesyukuran bagi pembaikan dan penggantian tapak Stesen Minyak Koperasi Tasamul Mukim Lumapas Berhad berlangsung hari ini di kawasan tapak stesen berkenaan, di sini.


Hadir pada majlis berkenaan, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, juga Penghulu Mukim Lumapas; Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat; dan Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, juga Ketua Kampung Lumapas 'B'.


Juga hadir, ketua-ketua Kampung di bawah Mukim Lumapas, ahli-ahli Koperasi Tasamul Mukim Lumapas dan Syarikat RE Sdn. Bhd.


Menurut Pengerusi koperasi berkenaan, Awang Haji Jumat bin Akim, penutupan stesen minyak berkenaan antaranya disebabkan oleh keadaan struktur bangunan yang tidak stabil serta tangki minyak yang sudah berusia lebih 25 tahun dan dari itu, ia memerlukan penggantian kepada yang baharu.


Jelasnya, projek baik pulih dan penggantian bagi stesen berkenaan merupakan antaranya bagi keperluan penduduk dan masyarakat sekitar dan juga kepentingan pengguna kenderaan. Dengan beroperasinya semula stesen minyak berkenaan juga akan memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan nanti.


Sementara itu, Pengarah Urusan Syarikat RE Sdn. Bhd., Mejar (B) Mohd. Akhmalnizam bin Sulaiman yang merupakan kontraktor bertanggungjawab bagi projek berkenaan menyatakan bahawa insyaaAllah, kesiapan projek dijangka pada Mac tahun hadapan nanti.


Projek yang menelan perbelanjaan sebanyak BND360 ribu berkenaan jelasnya, merangkumi kerja-kerja utama seperti pembaikan struktur bangunan, penggantian tangki-tangki minyak, 'dispensing point', serta penggantian baharu bagi paip-paip minyak dan kelengkapan-kelengkapan keselamatan stesen berkenaan.


Pada masa sekarang tambahnya lagi, pihaknya masih menunggu untuk tangki-tangki penyimpanan minyak yang dibekalkan dari pihak Brunei Shell Marketing Company (BSM) Sdn. Bhd.


Adapun penubuhan awal Stesen Minyak Koperasi Tasamul Mukim Lumapas Berhad bermula pada 1998 dan telah mula beroperasi sepenuhnya pada 4 Ogos 2000.


Close