ISED 2026 : Terus memperkukuh kerjasama pendidikan serantau




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Hernie Suliana Haji Othman 

 





JERUDONG, Selasa, 9 Jun. - Universiti Brunei Darussalam (UBD), dengan kerjasama The Education University of Hong Kong (EdUHK), telah mengambil langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama pendidikan serantau dengan menghimpunkan para pemimpin pendidikan, penggubal dasar, penyelidik dan pengamal pendidikan dari seluruh rantau ini dalam Simposium Antarabangsa Pembangunan Pendidikan (International Symposium on Educational Development – ISED 2026) bermula pada 9 hingga 10 Jun 2026.


Simposium berkenaan bertujuan untuk mencapai matlamat melalui pembangunan perkongsian strategik baharu, pertukaran ilmu serta inisiatif pembangunan kapasiti yang menyokong inovasi, keterangkuman dan pembangunan pendidikan yang mampan.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan simposium berkenaan yang berlangsung di The Empire Brunei ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.


Turut hadir, bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Chen Shaochun serta Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.


ISED 2026 mengangkat tema 'Transforming Education for a New Era : Innovation, Inclusion, and Sustainability across the Maritime Silk Road' atau 'Mentransformasikan Pendidikan untuk Era Baharu : Inovasi, Keterangkuman dan Kemampanan Merentasi Laluan Sutera Maritim'.


Tema berkenaan mencerminkan kepentingan yang semakin meningkat terhadap kerjasama pendidikan merentasi wilayah yang saling berhubung melalui aspirasi bersama ke arah pembangunan sosial dan ekonomi.


Berinspirasikan semangat Laluan Sutera Maritim sebagai jambatan pertukaran dan kerjasama, simposium berkenaan berusaha memupuk perkongsian yang membolehkan institusi berkongsi kepakaran, menangani cabaran pendidikan yang sama serta membangunkan sistem pendidikan yang bersedia menghadapi masa hadapan.


Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa masyarakat di seluruh dunia kini berdepan dengan kemajuan teknologi yang pesat, perubahan keperluan tenaga kerja, ketidaktentuan alam sekitar serta perubahan jangkaan terhadap pembelajaran.


Jelasnya lagi, universiti mempunyai tanggungjawab bukan sahaja untuk bertindak balas terhadap perubahan berkenaan tetapi juga membantu membentuknya melalui penjanaan ilmu baharu, melahirkan pemimpin masa hadapan serta menyumbang penyelesaian kepada cabaran masyarakat yang kompleks.


“Kita perlu melaksanakan perkara ini bersama-sama, merentasi disiplin, sektor dan sempadan negara bagi memastikan pendidikan terus kekal relevan, inklusif dan transformatif," ujarnya lagi.


Salah satu acara kemuncak ISED 2026 ialah perasmian Pusat Bersama UBD–EdUHK bagi pembangunan dan kemajuan pendidikan dalam kurikulum, pedagogi dan penilaian.


Ditubuhkan menerusi perkongsian strategik antara UBD dan EdUHK, pusat berkenaan akan berfungsi sebagai platform bagi penyelidikan kolaboratif, pembelajaran profesional, inovasi kurikulum, pembangunan kepimpinan pendidikan serta amalan pendidikan berasaskan bukti.


Pusat berkenaan dijangka menyokong inisiatif pembangunan kapasiti, memperkukuh penyelidikan dan inovasi pendidikan, serta memudah cara kerjasama yang lebih erat antara universiti, agensi kerajaan dan pengamal pendidikan di NBD dan juga luar negara.


Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan dalam ucapan semasa Majlis Perasmian menegaskan komitmen NBD untuk meningkatkan standard pendidikan negara selaras dengan Wawasan Brunei 2035.


 Yang Berhormat turut menjelaskan bahawa pusat bersama berkenaan secara langsung menyokong usaha Kementerian Pendidikan.


“Dengan meletakkan NBD sebagai hab pendidikan dan pembangunan yang dinamik, kita bukan sahaja memperkukuh hubungan antara NBD dan Hong Kong, malah turut menyumbang kepada kemakmuran seluruh rantau ASEAN," ujar Yang Berhormat lagi.


Simposium berkenaan turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan UBD, EdUHK, Philippine Normal University, National University of Laos dan University of Social Sciences and Humanities, Vietnam National University Ho Chi Minh City.


MoU berkenaan bertujuan untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam penyelidikan pendidikan, pertukaran akademik, pembangunan profesional dan projek kolaboratif yang menyumbang kepada kemajuan pendidikan di Asia Tenggara dan rantau Asia-Pasifik secara keseluruhannya.


Simposium berkenaan turut menampilkan ucaptama oleh Presiden EdUHK, Profesor Chi Kin John Lee, JP; Timbalan Naib Canselor (Pendidikan), UBD, Profesor Dr. Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman; serta Naib Presiden Akademik EdUHK, Profesor May Hung May Cheng.


Para penceramah terkemuka berkenaan membincangkan pelbagai isu berkaitan transformasi kurikulum, universiti yang bersedia menghadapi masa hadapan, inovasi, keterangkuman dan landskap pendidikan guru yang semakin berkembang.


Selain itu, simposium berkenaan turut menampilkan forum peringkat tinggi dan bengkel profesional yang membincangkan teknologi pendidikan, kepimpinan, keterangkuman, kemampanan, pengurusan tingkah laku, penerbitan penyelidikan serta penggunaan pedagogi Kecerdasan Buatan (AI) generatif.


Program berkenaan dirangka untuk merapatkan jurang antara penyelidikan, dasar dan amalan, di samping menggalakkan kerjasama antara pihak berkepentingan daripada institusi pengajian tinggi, sekolah, agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa.


Untuk maklumat lanjut mengenai simposium berkenaan, sila layari laman sesawang  www.ised2026.com.


Close