Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 9 Jun. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib pada pagi tadi telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Azerbaijan Yang Tidak Menetap ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Irfan Shakir Oglu Davudov.
Majlis diadakan di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.
Pada kunjungan berkenaan, kedua-dua belah pihak menekankan hubungan dua hala yang erat antara NBD dan Republik Azerbaijan, termasuk usaha memperkukuh hubungan diplomatik antara MMN dan Milli Majlis Republik Azerbaijan sebagai langkah mengukuhkan persefahaman serta memperluaskan kerjasama legislatif kedua-dua buah negara.
Kedua-dua belah pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan landskap geopolitik semasa serta peluang untuk memperluaskan kerjasama dua hala dalam bidang-bidang utama seperti perdagangan dan sektor minyak dan gas.
Turut hadir pada kunjungan hormat berkenaan, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.