Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 8 Jun. - Contoh keunggulan peribadi serta peranan wanita dalam memperkukuhkan institusi keluarga dan masyarakat antara yang diketengahkan semasa Ceramah Khas bertajuk 'Saiyidatina Khadijah binti Khuwailid: Suri Teladan Wanita Sepanjang Zaman' pada Program Ceramah Khas Wanita sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026 bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, di sini.
Ceramah Khas tersebut telah disampaikan oleh Profesor Jabatan Siasah Syar'iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail, yang juga merupakan Profesor Pelawat di Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Norazimah binti Haji Ramlee.
Turut hadir ialah Penolong Rektor (Hal Ehwal Akademik) UNISSA, Profesor Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad; Pemangku Penolong Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNISSA, Pengiran Dr. Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim; pegawai-pegawai utama UNISSA; para peserta wanita yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan serta swasta, ahli persatuan bukan kerajaan, Muslimah masjid dari seluruh negara, serta orang ramai.
Program yang bertemakan 'Keluargaku Harapanku' ini bertujuan memperkukuhkan kefahaman mengenai kepentingan institusi keluarga menurut perspektif Islam, di samping meningkatkan kesedaran golongan wanita terhadap peranan dan tanggungjawab mereka dalam membentuk keluarga yang harmoni, sejahtera dan berdaya tahan.
Selain menjadi wadah perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan cabaran kekeluargaan masa kini, program ini turut membincangkan pendekatan penyelesaiannya yang berasaskan ajaran Islam serta memperkukuhkan lagi kerjasama antara institusi pendidikan, pihak masjid dan masyarakat dalam usaha memperkasa pembangunan keluarga.
Melalui penganjuran program ini, para peserta diharap akan dapat menghayati dan mengamalkan nilai-nilai kekeluargaan yang berteraskan ajaran Islam, serta terus memainkan peranan aktif dalam membentuk keluarga cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara yang harmoni serta sejahtera.
Program Ceramah Khas Wanita sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2026 ini dianjurkan oleh UNISSA melalui Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.