Poni Foundation tayangkan dokumentari ‘The Invisible Catch (2026)’





Oleh : Nurdiyanah Rajami / Foto : Ihsan Poni Foundation

 





SALAMBIGAR, Isnin, 8 Jun. - Sebagai sebahagian daripada Minggu Lautan Brunei 2026 (Ocean Week Brunei 2026 - OWB 2026) dan inisiatif Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei Mid-Year Conference and Exhibition - MYCE), sebuah tayangan dokumentari berjudul 'The Invisible Catch (2026)' yang dinanti-nantikan telah berlangsung dengan jayanya hari ini di One Cineplex, Pusat Membeli-Belah OneCity.


Dianjurkan oleh Poni Foundation sebagai program penglibatan awam, acara itu menarik kira-kira 500 orang penonton meliputi tiga sesi tayangan khusus yang diadakan sepanjang hari. Ini termasuk tayangan istimewa untuk golongan pelajar, tayangan VIP untuk rakan kongsi dan pihak berkepentingan OWB, dan tayangan awam terbuka kepada masyarakat.


Antara yang hadir semasa sesi tayangan berlangsung ialah Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Michael Hoy; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke NBD, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd. Aini Atan; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke NBD, Tuan Yang Terutama Abel Guterres; serta wakil dari Kedutaan Republik Filipina, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (MITE), Jabatan Perikanan dan Jabatan Perhutanan.


Acara itu menghimpunkan penggubal dasar, pihak berkepentingan industri, pelajar, penyelidik, pemuliharaan, belia dan orang ramai untuk menghadapi salah satu ancaman paling mendesak yang dihadapi lautan dunia kini iaitu Penangkapan Haram, Tidak Dilaporkan dan Tidak Dikawal (Illegal, Unreported, and Unregulated (IUU) Fishing).


Dokumentari yang diterbitkan oleh Poni Studios dengan kerjasama New Wave Films dan juga ditauliahkan ('commissioned') oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di NBD, menggunakan penceritaan kuasa visual untuk membawa krisis global yang kompleks kepada kesedaran masyarakat tempatan.


Selepas tayangan itu, penonton terlibat dalam perbincangan panel yang menggugah pemikiran yang dikendalikan oleh Dayang Nuur Aqilah Ali dengan menampilkan barisan pakar yang pelbagai yang membawa kedua-dua perspektif pembikinan filem di belakang tabir dan realiti di lapangan dalam sesi perbincangan termasuk pengarah filem yang terdiri daripada Harrison Yap dari New Wave Films dan Awang Aziz Idris dari Poni Studios.


Turut menjadi panel perbincangan ialah Siu Tzyy Wei dari Global Impact and Awareness Alliance (GAIA) dan Terrance Lim dari Stop Fish Bombing (SFB) Malaysia.


Ahli panel telah membincangkan bagaimana penangkapan ikan IUU bukan sahaja isu alam sekitar tetapi juga cabaran ekonomi dan keselamatan yang serius kerana ia melemahkan amalan penangkapan ikan yang bertanggungjawab, mengurangkan populasi ikan, merosakkan ekosistem marin yang rapuh, dan secara langsung mengancam keselamatan makanan dan daya tahan jangka panjang masyarakat pesisir.


Para panel juga menyentuh tentang bagaimana NBD boleh terus memimpin dan menyumbang kepada masa depan maritim yang mampan melalui kerjasama serantau, penguatkuasaan yang lebih kukuh, dan pendidikan awam.


Acara itu terbukti jauh lebih daripada sekadar tayangan filem, namun ia berfungsi sebagai platform penting untuk dialog dan pembelajaran.


Dengan menghubungkan titik antara dasar, penguatkuasaan dan sumber makanan laut bagi pengguna, 'The Invisible Catch (2026)' berjaya menunjukkan bahawa penangkapan ikan secara haram bukanlah masalah yang jauh, tetapi realiti tempatan.


Tayangan tersebut mencerminkan komitmen Poni Foundation yang lebih luas untuk menggunakan filem, fotografi dan penceritaan lautan sebagai alat untuk menjadikan sains kompleks dan cabaran kemampanan boleh diakses oleh semua.


Melalui Poni Studios, NGO itu memperjuangkan media visual sebagai tonggak kesedaran pemuliharaan.


Apabila tekanan lautan meningkat, penganjur menekankan bahawa melindungi sumber marin memerlukan tanggungjawab bersama. Penayangan 'The Invisible Catch (2026)' adalah sebahagian daripada siri program OWB yang lebih luas merangkumi pemulihan 'coral', perintis ekonomi biru dan penglibatan belia.


Semua ini bertujuan untuk mengubah perbincangan menjadi kerjasama praktikal, pekerjaan masa depan dan kesan alam sekitar jangka panjang untuk NBD.


Close