Majlis Penutup, Penyampaian Sijil Program Latihan Serantau Hibrid




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman






GADONG, Sabtu, 6 Jun. - Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, dengan kerjasama GIZ-RECOTwin mengadakan Majlis Penutup bagi Program Latihan Serantau Hibrid mengenai Penyelidikan Kaedah Campuran Berasaskan Pemikiran Reka Bentuk bagi Pelaksanaan Indeks Kesediaan Pendidikan Penghijauan (GERI) dalam Skim Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertempat di Dewan Seri Kerna, SEAMEO VOCTECH, Gadong, petang tadi.


Sehubungan itu, Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi program berkenaan telah diadakan di pusat tersebut yang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.


Dr. Haji Azman dalam ucapannya menegaskan bahawa GERI adalah tepat pada masanya dan amat relevan, serta melangkaui pengukuran aktiviti-aktiviti yang terasing dengan menyediakan satu kerangka kerja menyeluruh bagi memahami tahap kesediaan institusi merentasi pelbagai dimensi, termasuk kurikulum, pembangunan guru, operasi kampus, tadbir urus, kerjasama strategik dan penglibatan komuniti.


Beliau turut menyatakan bahawa GERI berperanan sebagai mekanisme penting dalam menyokong pelaksanaan Pelan Pendidikan Penghijauan (GEP) Negara Brunei Darussalam 2025–2035, selain menggalakkan para peserta untuk meneruskan momentum yang telah dibina melalui latihan tersebut apabila kembali ke negara masing-masing.


Terdahulu, dalam ucapan penutupnya, Pengarah SEAMEO VOCTECH, Awang Haji Norjemee bin Jenek berkata bahawa program tersebut bukan sahaja bertujuan meningkatkan kapasiti peserta malah merupakan langkah penting ke arah pelaksanaan kajian serantau di bawah agenda Majlis TVET ASEAN.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada GIZ-RECOTwin atas kerjasama berterusan yang diberikan, di samping mengucapkan terima kasih kepada para fasilitator dan peserta atas komitmen serta dedikasi mereka dalam memperkukuh pendekatan berasaskan bukti bagi menyokong usaha penghijauan TVET di seluruh rantau ASEAN.


Penyelaras Kursus yang juga Timbalan Pengarah Hal Ehwal Profesional dan Pengurus Penyelidikan SEAMEO VOCTECH, Dr. Paryono, turut berkongsi pandangan mengenai pengalaman pembelajaran kolaboratif yang diperoleh sepanjang program tersebut.


Beliau berkata, para peserta terlibat secara aktif dalam membincangkan cabaran penghijauan yang dihadapi Negara-negara ASEAN, di samping meneliti dan memperkukuh kerangka kerja GERI, merangka pelan pelaksanaan penyelidikan di peringkat kebangsaan serta menilai strategi pengumpulan data berasaskan kaedah campuran.


Beliau seterusnya memaklumkan bahawa fasa berikutnya akan melibatkan pengumpulan data di negara-negara yang mengambil bahagian serta penyediaan laporan GERI di peringkat kebangsaan dan serantau, dengan pembentangan laporan negara dijangka diadakan sekitar Oktober 2026.


Program latihan berkenaan dilaksanakan secara hibrid, meliputi sesi dalam talian selama tiga hari pada 25, 26 dan 29 Mei 2026, diikuti sesi bersemuka dan dalam talian dari 2 hingga 6 Jun 2026.


Program yang disertai 31 peserta daripada kesemua 11 Negara Anggota SEAMEO / ASEAN, termasuk wakil daripada kementerian-kementerian pendidikan, institusi TVET dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Sebagai negara tuan rumah, Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh lima orang peserta.


GERI merupakan satu kerangka kerja berstruktur yang dibangunkan oleh SEAMEO VOCTECH dan Dr. Margarita Pavlova dengan sokongan GIZ-RECOTwin bagi menilai tahap kesediaan institusi TVET merentasi domain utama pendidikan penghijauan.


Program ini mengaplikasikan Pemikiran Reka Bentuk (Design Thinking) sebagai pendekatan penyelidikan menyeluruh untuk menyokong proses pemuktamadan dan pelaksanaannya.


Melalui program ini, para peserta telah menambah baik kerangka kerja dan instrumen berkaitan, mereka bentuk pelan pelaksanaan penyelidikan di peringkat kebangsaan, serta membuat persediaan bagi pengumpulan data dan penyediaan laporan pasca latihan sebagai sebahagian daripada kajian serantau ASEAN yang lebih luas.


Close