Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
TUTONG, Sabtu, 6 Jun. - Hari Alam Sekitar Sedunia akan diraikan setiap 5 Jun setiap tahun oleh masyarakat global termasuk Negara Brunei Darussalam (NBD) di mana sambutan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam memelihara alam sekitar.
Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan menganjurkan Acara Penanaman Pokok dan Pembersihan Pantai 'Coastal Marvel' bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar 2026 di Taman Rekreasi Pantai Seri Kenangan, awal pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Acara didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dan diikuti dengan taklimat keselamatan. Kemudiannya acara diteruskan dengan sesi pemanasan badan sebelum memulakan Aktiviti Penanaman Pokok dan Kempen Kebersihan 'Coastal Marvel' di sepanjang persisiran pantai berkenaan.
Sebanyak 36 batang pokok Casuarina Equisetifolia telah ditanam. Sementara itu, sejumlah 95.9 kg sisa sampah telah berjaya dikutip oleh lebih daripada 100 peserta, di mana sebanyak 63.9 kg daripadanya adalah sisa plastik.
Turut hadir semasa acara tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai dan Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohammad Yaakub serta Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar.
Juga hadir, ketua-ketua jabatan, divisyen, unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya; Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Perhutanan, Pejabat Perubahan Iklim NBD, penghulu, ketua-ketua kampung serta penduduk-penduduk Mukim Pekan Tutong.
Tema Sambutan Hari Alam Sekitar pada tahun ini adalah Tindakan Iklim (Climate Action) sebagai tanda peringatan bahawa setiap individu dan masyarakat memainkan peranan yang penting dalam melindungi masa depan alam sekitar kita.