Berkenan berangkat menghadiri Upacara Mengangkat Sumpah




Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas






BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 6 Jun. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Upacara Mengangkat Sumpah bagi Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar bagi Mahkamah Rayuan Negara Brunei Darussalam yang baharu, petang tadi.


Berangkat sama ke upacara tersebut yang diadakan di Istana Nurul Iman itu ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Majlis dimulakan dengan pembacaan Surat Perintah Lantikan oleh Pemangku Grand Chamberlain, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali.


Upacara tersebut diteruskan dengan Upacara Mengangkat Sumpah Kehadapan Majlis


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar bagi Mahkamah Rayuan Negara Brunei Darussalam, The Honourable Sir Nicholas Blake.​

Turut hadir pada upacara tersebut ialah Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu dan Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib serta Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon.


Juga hadir, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Awang Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Awang Muhammed Faisal bin Pehin Datu Juragan Laila Diraja Dato Seri Pahlawan Haji Kefli serta Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Dato Paduka Awang Haji Hamidon bin Haji Ibrahim.


Upacara tersebut juga dihadiri oleh Pemangku Setiausaha Tetap JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad dan Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, Yang Arif Dayang Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.


Close