Mendepani era transformasi teknologi, AI




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Azmah Haji Ahad





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 3 Jun. - Persidangan Media Islam Serantau 2026 (RIMeC'26) diteruskan dengan penganjuran forum bertemakan 'Media Digitalization : Challenges and Opportunities for Islamic Media' yang berlangsung di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.


Forum tersebut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat majlis, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.


Turut hadir ialah Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),


Yang Berbahagia Profesor Madya Dato' Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil;


Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman dan Naib Presiden Hal Ehwal Korporat, Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST), Dayang Hajah Safrina binti Pehin Dato Haji Abdul Rahman.

 

Forum ini merupakan antara pengisian utama RIMeC'26 yang bertujuan membincangkan perkembangan digitalisasi media serta cabaran dan peluang yang dihadapi oleh media Islam dalam mendepani era transformasi teknologi, Kecerdasan Buatan (AI) dan perubahan corak komunikasi masyarakat global.


Forum berkenaan menampilkan barisan ahli panel berpengalaman, terdiri daripada


Pengarah Pusat Media IKIM, YBrs. Haji Ahmad Fuad bin Mat Ali; Timbalan Dekan Fakulti Teknologi Islam, UNISSA, Profesor Madya Dr. Dayang Hajah Tiawa binti Awang Haji Hamid; Pensyarah Adjung, Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam, UNISSA, Dr. Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunus dan Penerbit TV serta Pengarah Kreatif IKIM, Norhafizah binti Razaq.


Manakala, moderator forum ialah Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), IKIM, YBrs. Dr. Nik Roskiman bin Abdul Samad.


Menerusi forum ini, perbincangan turut menyentuh kepentingan media Islam dalam menyampaikan maklumat yang sahih, beretika dan berwibawa di tengah-tengah kepesatan arus media digital masa kini.


Selain itu, forum ini juga berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan peranan media Islam dalam menghadapi cabaran semasa seperti penyebaran maklumat tidak sahih, perubahan algoritma media sosial, penggunaan teknologi baharu, literasi digital masyarakat serta keperluan menghasilkan kandungan dakwah yang lebih kreatif, inklusif dan berimpak tinggi.


Forum ini diharap dapat menjadi platform ilmiah dan profesional bagi membincangkan pendekatan media Islam yang lebih progresif, kompetitif dan responsif terhadap perkembangan landskap media global masa kini.


Penganjurannya turut membuka ruang perkongsian idea, pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkukuh peranan media Islam sebagai medium dakwah, pendidikan serta pembentukan pemikiran masyarakat yang seimbang, berinformasi dan berteraskan nilai-nilai Islam.


Secara keseluruhannya, forum ini mencerminkan komitmen RIMeC'26 dalam memperkasa wacana media Islam serantau serta menyokong pembangunan ekosistem media yang lebih profesional, beretika, inovatif dan relevan dengan keperluan masyarakat kontemporari.


Close