Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 3 Jun. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Teknologi Islam dan Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST) serta Pusat Da'wah Islamiah (PDI) menganjurkan Persidangan Media Islam Serantau 2026 (RIMeC'26) selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Jun 2026 di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).
Bertemakan 'Da'wah dan Media Islam dalam Era Digital : Cabaran, Peluang dan Transformasi', persidangan berkenaan menghimpunkan ahli akademik, pengamal media serta penyelidik dari dalam dan luar negara bagi membincangkan perkembangan media Islam dalam menghadapi era pendigitalan semasa.
Persidangan berkenaan turut membincangkan transformasi model dakwah daripada pendekatan konvensional kepada pendekatan digital yang lebih dinamik, interaktif dan berorientasikan data tanpa mengabaikan prinsip serta nilai syariah.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Turut hadir, Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin; Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal; Pemangku Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), di JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali; serta Penolong-penolong Mufti Kerajaan.
Juga hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini bin Atan; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Yang Berbahagia Profesor Madya Dato' Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil.
Dekan Fakulti Teknologi Islam, UNISSA, Profesor Dr. Haji Abdul Hafidz bin Haji Omar dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), media sosial dan platform digital telah mengubah landskap komunikasi serta menimbulkan cabaran termasuk penyebaran maklumat palsu, manipulasi persepsi dan budaya tular
Namun katanya, media digital juga dilihat sebagai peluang besar untuk memperluas dakwah, menyampaikan ilmu dan membina naratif Islam yang sahih, progresif serta berautoriti.
Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM dalam ucaptamanya antara lain menjelaskan mengenai keperluan transformasi media Islam agar lebih strategik, kreatif dan proaktif dalam menghadapi cabaran dunia digital yang dipenuhi berita palsu, fitnah dan persaingan naratif.
Jelasnya melalui pengajaran sejarah Islam, umat Islam diseru untuk menguasai ilmu, teknologi dan komunikasi moden serta membangunkan Halal Media Hub sebagai ekosistem media serantau yang berteraskan kebenaran, adab, nilai Islam dan tanggungjawab sosial.
RIMeC'26 turut mengetengahkan pameran daripada pelbagai institusi akademik, agensi kerajaan, media Islam, syarikat industri dan platform digital berkaitan dakwah, teknologi serta inovasi pendidikan Islam.
Antara pempamer yang mengambil bahagian ialah IKIM Malaysia, Fakulti Usuluddin, UNISSA; Fakulti Teknologi Islam, UNISSA; Pusat Perkhidmatan Digital, UNISSA; DST, PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Nur Islam FM, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB); Think Osem Sdn. Bhd. (Malaysia) dan Brunei Ubni Sdn. Bhd.
Penganjuran RIMeC'26 diharap dapat menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau serta memperkasa peranan media Islam dalam menyampaikan maklumat yang sahih, beretika dan berteraskan nilai-nilai Islam sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.
Persidangan berkenaan juga mencerminkan komitmen UNISSA dalam membudayakan penyelidikan, memperluas jaringan akademik dan menyokong pembangunan ekosistem media Islam yang lebih profesional, inovatif dan berwibawa.
