Mendukung belia ceburi bidang pertanian berteknologi tinggi




Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




TUNGKU, Selasa, 2 Jun. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sekali lagi mengungkayahkan Program Pendedahan Belia-belia Yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi.


Program kali ke-11 ini akan diadakan selama 13 hari, bermula dari 2 Jun hingga 20 Jun 2026, bertempat di Pusat Latihan dan Perkhidmatan Lepas Tuai, Pejabat Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Tungku, di sini.


Program tersebut meliputi sesi taklimat yang diberikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Dr. Diana Dennis, pegawai-pegawai daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta pegawai-pegawai daripada agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe); Jabatan Belia dan Sukan; Pusat Pekerjaan Brunei; Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCI); Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN); dan institusi-institusi kewangan.


Program ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dalam mendukung Pelan Strategik Jabatan Pertanian dan Agrimakanan 2022-2030, yang berkaitan dengan usaha untuk meningkatkan penglibatan belia dalam sektor pertanian.


Di samping itu, program ini bertujuan untuk mendedahkan perusahaan pertanian sebagai satu perniagaan yang menguntungkan, khususnya dalam bidang industri tanaman menggunakan sistem teknologi tinggi bagi meningkatkan hasil keluaran pertanian.


Program ini dibahagikan kepada sesi taklimat dan sesi lawatan ke ladang pertanian.


Semasa sesi taklimat, penerangan dibuat mengenai peluang-peluang pelaburan di bidang industri tanaman; simulasi kewangan bagi perusahaan pertanian menggunakan teknologi tinggi; dan peluang-peluang pasaran di pasar raya tempatan.


Sementara itu, peserta akan melalui sesi penempatan selama lapan hari di ladang-ladang terpilih iaitu Hua Ho Agricultural Farm, Mori Enterprise, Harvest Moon Trading, KN Nursery (B) Sendirian Berhad, Akmal Asmaan Agriculture Farm dan Nana Agro Farm.


Melalui program ini, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan cuba untuk menarik minat para belia termasuk penuntut lepasan Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan peserta di bawah program bantuan yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat yang melibatkan dukungan dari keluarga masing-masing dari segi moral dan modal, untuk menggalakkan anak-anak mereka menceburkan diri dalam bidang pertanian.


Program ini juga memberikan fokus kepada beberapa sistem dan teknologi pengeluaran yang bersesuaian dengan kemampuan para peladang belia seperti sistem fertigasi dan sebagainya.


Jabatan Pertanian dan Agrimakanan antara lain berharap agar para peladang termasuk para belia ini nanti akan dapat melipat gandakan keluaran dan pendapatan mereka serta boleh berdikari, selanjutnya dapat menambah keluaran sehingga dapat menembusi pasar raya-pasar raya tempatan dan seterusnya menembusi pasaran eksport.


Para belia yang berminat boleh menghubungi Bahagian Industri Tanaman, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di talian +673 2470400, +673 2388095, atau +673 2382822.


Close