Oleh: Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
KIULAP, Selasa, 2 Jun. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perikanan, malam tadi menghoskan Majlis Makan Malam Rasmi bagi meraikan para penceramah serta delegasi antarabangsa ke Persidangan Ke Arah Melestarikan Lautan : Inovasi, Tadbir Urus dan Daya Tahan bagi Masa Depan Biru Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berlangsung J Hotel, Kiulap.
Majlis berkenaan mencerminkan penghargaan terhadap kehadiran dan sumbangan para penceramah dalam berkongsi kepakaran, pengalaman dan pandangan strategik ke arah memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa dalam pemeliharaan serta pengurusan sumber lautan secara mampan.
Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Biodiversiti dan Penyelidikan Alam Sekitar (IBER), Universiti Brunei Darussalam (UBD); Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dan Poni Group Sdn. Bhd.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap di KSSUP, Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, KSSUP, ketua-ketua jabatan, Penolong Naib Canselor UBD, Pengarah IBER, Ketua Eksekutif MPABD, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Poni Group Sdn. Bhd., serta ahli akademik, penyelidik dan pegawai dari Jabatan Perikanan.
Sehubungan itu, Persidangan Ke Arah Melestarikan Lautan : Inovasi, Tadbir Urus dan Daya Tahan bagi Masa Depan Biru NBD berkenaan diadakan sebagai platform untuk memperkukuh pengurusan dan pemuliharaan sumber laut secara mampan melalui pendekatan berasaskan sains, inovasi dan kerjasama strategik.
Tujuan persidangan berkenaan diadakan adalah untuk menyokong rumusan dasar bagi ekosistem marin, memperkukuh tadbir urus dan pemantauan laut, memudah cara pemindahan teknologi serta perkongsian pengetahuan, di samping meningkatkan pembangunan kapasiti dan pengukuhan institusi dalam sektor perikanan.
Selain itu, ia juga diharap dapat menggalakkan inovasi dan pertumbuhan ekonomi mampan melalui penggunaan sumber laut secara bertanggungjawab dan mesra alam.
Persidangan Ke Arah Melestarikan Lautan : Inovasi, Tadbir Urus dan Daya Tahan bagi Masa Depan Biru NBD berkenaan berlangsung dari 2 hingga 4 Jun 2026 bertempat di Pusat Kesenian Pro-Canselor, UBD.
Hasil utama yang diperoleh daripada persidangan berkenaan adalah untuk merangkumi pengukuhan kerjasama serantau dan antarabangsa, peningkatan perkongsian pengetahuan dan teknologi marin, sokongan terhadap penggubalan dasar berasaskan bukti, pembangunan kapasiti pelbagai pihak berkepentingan serta pemerkasa inovasi dan amalan mampan dalam sektor perikanan, akuakultur dan ekonomi biru.