Memperkukuh pengurusan perikanan melalui larangan pukat tunda menjelang 2030




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Dk. Nurhafilah Pg. Osman






TUNGKU, Selasa, 2 Jun. - Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perikanan, dengan kerjasama Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Penyelidikan (IBER), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dan Poni Group Sdn. Bhd, mengadakan Persidangan Ke Arah Melestarikan Lautan: Inovasi, Tadbir Urus dan Daya Tahan Bagi Masa Depan Biru Negara Brunei Darussalam selama tiga hari, bertempat di Pusat Kesenian Pro-Canselor, UBD, di sini.


Persidangan yang berlangsung bermula hari ini hingga hari Khamis, 4 Jun 2026 diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2026.


Majlis perasmian persidangan tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.


Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan mengumumkan mengenai pemberhentian aktiviti kapal pukat tunda yang akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2030.


Alat pukat tunda dikenali pasti sebagai kaedah tidak lestari kerana kesannya terhadap ekosistem marin, termasuk penangkapan berlebihan, tangkapan ikan juvenil dan spesies bukan sasaran, serta kerosakan habitat dasar laut.


Oleh itu tegasnya, langkah ini merupakan usaha penting dan memberi manfaat kepada nelayan-nelayan tempatan, khususnya dalam memastikan pengurusan sumber perikanan yang mampan dan bertanggungjawab, dengan mengurangkan tekanan ke atas sumber perikanan, membolehkan ekosistem marin pulih secara semula jadi, serta memperkukuh jaminan sekuriti makanan negara yang mampan bagi manfaat generasi kini dan akan datang.


Ke arah ini terang Yang Berhormat lagi, Jabatan Perikanan akan terus melaksanakan usaha-usaha dalam membantu pengusaha - pengusaha pukat tunda terjejas, terutama sekali dalam memudahcara peralihan kepada kaedah penangkapan dan alternatif atau bidang akuakultur dan agrimakanan yang lebih lestari.


Sehubungan itu, persidangan ini juga diharap dapat memperkukuhkan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam tadbir urus lautan, pemuliharaan biodiversiti marin serta pencegahan aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal, di samping memudah cara pemindahan teknologi, perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti dalam bidang pemantauan lautan, pendigitalan sektor perikanan, penilaian karbon biru dan perancangan ruang marin.


Melalui usaha-usaha ini, persidangan ini juga diharap dapat memupuk inovasi dan merangsang pertumbuhan ekonomi biru yang mampan menerusi amalan akuakultur yang bertanggungjawab, teknologi marin dan amalan industri yang lestari.


Di samping itu, mencerminkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam mendukung Matlamat Pembangunan Mampan 14 (SDG 14): Kehidupan diBawah Air, khususnya dalam pemuliharaan dan penggunaan sumber marin secara mampan.


Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan seterusnya merasmikan persidangan berkenaan dan diselajurkan dengan pelancaran buku 'National Coral Reef Monitoring and Management Programme - A Unified Framework for Monitoring, Protecting and Restoring Brunei's Reef Ecosystems'.


Turut hadir ialah Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi; Setiausaha Tetap KSSUP; Naib Canselor UBD; Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap KSSUP; Ketua-ketua Jabatan; pegawai kanan Kerajaan; serta wakil daripada kedua-dua organisasi tempatan dan antarabangsa, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik, penyelidik, wakil pihak berkepentingan dan pihak swasta yang berkaitan dan peserta persidangan.


Persidangan dimulakan dengan sesi tematik pertama bertajuk 'Strengthening Climate Resilience Through Ocean Health and the Protection of Marine Life and Habitats' yang dikendalikan oleh Pensyarah Geography, Environment and Development Programme, Faculty of Arts and Social Sciences, UBD, Dr. Izni Azrein bin Noor Azalie, selaku moderator.


Sesi tersebut menampilkan penyertaan ahli-ahli panel dari dalam dan luar negara yang membincangkan usaha memperkukuhkan daya tahan iklim melalui pemeliharaan kesihatan lautan serta perlindungan hidupan dan habitat marin.


Persidangan kemudian diteruskan dengan ucaptama yang disampaikan oleh Principle Research Scientist, Australian Institute of Marine Science (AIMS), Dr. Manuel Alejandro Gonzalez-Rivero.


Ucaptama tersebut menjelaskan mengenai ancaman ke atas terumbu karang yang berpunca daripada faktor semula jadi dan aktiviti manusia, termasuk penangkapan ikan berlebihan, pembangunan kawasan pesisir pantai, pencemaran, dan perubahan iklim.


Jabatan Perikanan telah mengenal pasti terumbu karang sebagai salah satu komponen penting dalam mendukung agenda sekuriti makanan negara, memandangkan ekosistem ini berperanan sebagai habitat, kawasan perlindungan dan pembiakan bagi pelbagai spesies ikan serta hidupan marin yang bernilai kepada sektor perikanan.


Jabatan Perikanan juga telah bekerjasama dengan Kerajaan Australia melalui AIMS bagi melaksanakan projek pemantauan dan pengurusan terumbu karang, yang bertujuan untuk memperkukuh keupayaan teknikal, meningkatkan penggunaan pendekatan berasaskan sains, serta menangani cabaran utama dalam pemantauan ekosistem terumbu karang tempatan, demi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara dan menyumbang kepada sekuriti makanan secara mampan.


Maklumat lanjut mengenai Persidangan Ke Arah Melestarikan Lautan: Inovasi, Tadbir Urus Dan Daya Tahan Bagi Masa Depan Biru Negara Brunei Darussalam bolehlah diperolehi melalui laman sesawang rasmi Jabatan Perikanan di 'www.fisheries.gov.bn', serta media sosial Instagram '@fisheries.brunei'.


Close