Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 31 Mei. - Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tanjung Bunut telah mengadakan Majlis Penyerahan Daging Ibadah Korban kepada golongan asnaf fakir dan miskin di Kampung Tanjung Bunut.
Majlis berkenaan diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di masjid berkenaan, di sini, pagi tadi.
Hadir menyempurnakan penyampaian daging korban berkenaan kepada para peserta, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, selaku Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut.
Sementara itu, Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahman bin Abdul Kani pula menyampaikan daging korban kepada 16 penerima yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin Kampung Tanjung Bunut.
Pada tahun ini, sebanyak enam ekor kerbau telah dikorbankan dan hasil daging korban berkenaan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Majlis berkenaan merupakan antara usaha berterusan pihak masjid dan MPK Tanjung Bunut dalam menyemarakkan syiar Islam, di samping memupuk semangat keprihatinan, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Selain mencerminkan nilai pengorbanan dan kesyukuran yang menjadi teras sambutan Hari Raya Aidiladha, inisiatif berkenaan turut menggalakkan amalan saling membantu serta berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.