Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Na'il Haris Haji Muhd. Nikman
RIMBA, Ahad, 31 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan Demonstrasi Keupayaan Gerak Khas oleh Special Operations Command (SOCOM) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta unit-unit di bawahnya iaitu Komando (Kdo) Tentera Darat Diraja Brunei, Skuadron Gerak Khas Maritim (SGKM) Tentera Laut Diraja Brunei dan Pasukan Khas Tentera Udara (PASKTU) Tentera Udara Diraja Brunei, sekali gus menandakan penubuhan rasmi SOCOM sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) ABDB Ke-65.
Berangkat sama ke Ruang Dais Khas bagi menyaksikan Demonstrasi Keupayaan Gerak Khas tersebut ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik serta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Pada demonstrasi tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan menerima pesambah dan bergambar ramai bersama anggota yang terlibat.
Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan paduka-paduka anakanda baginda berkenan menyaksikan Pertunjukan Udara yang julung kali diadakan dalam sejarah Sambutan HUT ABDB.
Pertunjukan Udara ini menampilkan penglibatan Tentera Udara Angkatan Sahabat pesawat Sukhoi SU-30MKM daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); Airbus A330 Multi-Role Tanker Transport (MRTT) daripada Tentera Udara Republik Singapura (TURS) dan Pasukan Aerobatik Jupiter daripada Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Udara (TNI-AU).
Pertunjukan Udara ini melibatkan pesawat-pesawat tentera dalam pelbagai formasi penerbangan, lintas hormat (flypast), demonstrasi taktikal dan 'maneuver' aerobatik di ruang udara yang telah ditetapkan. Persembahan ini dilaksanakan secara terancang dan terkawal mengikut prosedur keselamatan penerbangan serta arahan operasi yang berkuat kuasa bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang pertunjukan itu berlangsung.
Pertunjukan ini melibatkan kerjasama antara pelbagai agensi dan Tentera Udara yang menunjukkan simbol hubungan pertahanan dan kerjasama serantau yang erat. Selain berfungsi sebagai acara utama dalam Sambutan HUT ABDB Ke-65, persembahan ini juga menjadi platform untuk mempamerkan keupayaan operasi, profesionalisme juruterbang serta kesiapsiagaan aset udara yang dimiliki oleh angkatan tentera.
.jpg)
.jpg)
.jpg)