Pameran ketengahkan keupayaan aset, teknologi udara



​​

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Na'il Haris Haji Muhd. Nikman





RIMBA, Ahad, 31 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan Pameran Statik Keupayaan Udara sempena Upacara Hari Kemuncak sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (HUT ABDB) Ke-65 yang berlangsung di Pangkalan Tentera Udara Rimba, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), hari ini.


Berangkat sama bagi menyaksikan pameran tersebut ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik serta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Pameran Statik Keupayaan Udara yang mengambil tempat di Apron Pangkalan Tentera Udara tersebut telah menampilkan aset-aset TUDB dan penyertaan daripada enam buah Tentera Udara Angkatan Sahabat sempena Sambutan HUT ABDB Ke-65.


Objektif pameran ini adalah bagi memperkenalkan keupayaan aset dan teknologi udara kepada orang ramai dan memberikan pendedahan tentang fungsi serta peranan Tentera Udara dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara. Selain itu, ia juga bertujuan bagi mengukuhkan lagi hubungan antara angkatan tentera yang terlibat dan juga sebagai platform pendidikan dan perkongsian maklumat mengenai operasi udara dan teknologi moden.


Selain penyertaan daripada TUDB, Pameran Statik ini turut disertai enam buah Tentera Udara Angkatan Sahabat iaitu Australia, Republik Singapura, United Kingdom, Republik Filipina, Malaysia dan juga dari Amerika Syarikat dengan jumlah pameran pesawat sebanyak 12 buah pesawat termasuk Unmanned Aerial System (UAS), helikopter, jet pejuang dan juga pesawat angkut.


Pameran ini berkepentingan bagi membina keyakinan masyarakat terhadap keupayaan pertahanan dan keselamatan udara negara di samping menarik minat generasi muda untuk menceburi kerjaya dalam bidang penerbangan dan pertahanan serta mengukuhkan imej profesionalisme serta kesiapsiagaan Tentera Udara.


Sejurus sahaja selesai menyaksikan Pameran Statik Keupayaan Udara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja berkenan dijunjung berangkat ke Bangunan Cawangan Nombor 3, Kumpulan Gerakan TUDB bagi menyempurnakan perasmian bangunan tersebut dengan menandatangani plak perasmian sebelum disembahkenalkan kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggota Cawangan Nombor 3.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya menyaksikan Demonstrasi Keupayaan Gerak Khas dan Pertunjukan Udara di Ruang Dais Khas dan kemudian dijunjung bergambar ramai bersama anggota ABDB yang telah menyertai misi-misi antarabangsa.


Baginda juga disembahkenalkan kepada pegawai-pegawai yang baru menamatkan kursus di luar negara, didahului dengan cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Amat Mulia Leftenan (U) Pengiran Anak 'Abdul Raqiib bin Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim yang baru ditauliahkan dari Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom dan diikuti dengan para penerima anugerah dari Sekolah Pegawai Kadet Pengambilan Ke-24, Akademi Pertahanan ABDB.


Semasa Upacara Hari Kemuncak sempena Sambutan HUT ABDB Ke-65 tersebut, Kebawah DYMM dan paduka-paduka anakanda baginda juga berkenan berangkat menyaksikan Pameran Perkembangan Keupayaan Tentera yang terdiri dari Tentera Darat Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei dan TUDB yang mengetengahkan pembangunan keupayaan pertahanan masa hadapan, termasuk aspek model insan dan prasarana strategik.


Semasa pameran ini, baginda turut menerima sembah kenal daripada anggota-anggota misi pengaman United Nation Interim Force In Lebanon, Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team dan pengurusan kemajuan sumber manusia daripada Akademi Pertahanan ABDB dan Jabatanarah Pembangunan dan Perkhidmatan Kerja. 


06 (1).jpg

07 (1).jpg


08 (1).jpg


09 (1).jpg


10 (1).jpg


11 (1).jpg


12 (1).jpg


13 (1).jpg


14 (1).jpg


Close