Berangkat ke Upacara Hari Kemuncak Sambutan HUT ABDB Ke-65



​​

Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Na'il Haris Haji Muhd. Nikman





RIMBA, Ahad, 31 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat ke Upacara Hari Kemuncak sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (HUT ABDB) Ke-65 yang berlangsung di Pangkalan Tentera Udara Rimba, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).


Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka-paduka anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan ahli-ahli kerabat diraja di Padang Kawad TUDB dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.


Kebawah DYMM seterusnya dijunjung ke Pentas Diraja bagi menerima Tabik Hormat, sebelum berkenan memeriksa barisan Pasukan-pasukan Perbarisan yang diketuai oleh Pegawai Perbarisan, Leftenan Kolonel (U) Pengiran Mohd. Zulhusmi bin Pengiran Mohd. Roslan dan melibatkan seramai 1,065 anggota ABDB yang terdiri daripada Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB); Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB); TUDB; termasuk rombongan Panji-panji Diraja dan Panji-panji Pasukan ABDB; Rejimen Pasukan Khas (RPK); Gabungan Anggota Tentera Wanita ABDB; Gabungan Pasukan Pancaragam ABDB, Pasukan Serunai dan Tambur TDDB, dan aset-aset operasi ABDB.


Upacara diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan dan cepat, diikuti dengan 'Perbarisan Mara Ke Hadapan Untuk Diperhatikan Semula'.


Baginda berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan HUT ABDB Ke-65, sebelum laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' bergema sebanyak tiga kali.


Bagi memberkati upacara berkenaan, bacaan Doa Selamat telah dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar.


Kebawah DYMM sekali lagi disembahkan dengan Tabik Hormat Diraja serta terbang lalu helikopter S70i Blackhawk dan Pesawat Angkut C295MW TUDB.


Selepas itu, Kebawah DYMM seterusnya berkenan berangkat ke Pusat Pergerakan Udara bagi menyempurnakan pelancaran Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026 (KPPK 2026) bertemakan 'Defending the Nation's Sovereignty : Credible, Adaptive and Resilient Force'.


Baginda turut berkenan menyaksikan Pameran Statik Keupayaan Udara bertempat di Apron Pangkalan Tentera Udara yang menampilkan aset-aset TUDB dan penyertaan daripada enam buah Tentera Udara Angkatan Sahabat dan seterusnya berkenan berangkat ke Bangunan Cawangan Nombor 3, Kumpulan Gerakan TUDB bagi menyempurnakan perasmian bangunan berkenaan dengan menandatangani plak perasmian sebelum disembahkenalkan kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggota Cawangan Nombor 3.


Baginda kemudian dijunjung berangkat ke Ruang Dais Khas bagi menyaksikan Demonstrasi Keupayaan Gerak Khas oleh Special Operations Command (SOCOM) ABDB serta unit-unit di bawahnya, iaitu Komando TDDB (Kdo), Skuadron Gerak Khas Maritim TLDB (SGKM), dan Pasukan Khas Tentera Udara (PASKTU) TUDB, sekali gus menandakan penubuhan rasmi SOCOM. Baginda juga berkenan menerima pesambah dan bergambar ramai bersama anggota yang terlibat.


Upacara diteruskan dengan pertunjukan udara yang menampilkan penglibatan Tentera Udara Angkatan Sahabat pesawat Sukhoi SU-30MKM daripada TUDM, Airbus A330 Multi-Role Tanker Transport (MRTT) daripada TURS, dan Pasukan Aerobatik Jupiter dari Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Udara (TNI-AU).


Kebawah DYMM kemudian berkenan untuk bergambar ramai bersama anggota ABDB yang telah menyertai misi-misi antarabangsa dan disembahkenalkan kepada pegawai-pegawai yang baharu menamatkan kursus di luar negara.


Seterusnya, baginda berkenan berkunjung ke Pameran Perkembangan Keupayaan Tentera yang mengetengahkan pembangunan keupayaan pertahanan masa hadapan, termasuk aspek modal insan dan prasarana strategik sebelum dijunjung ke Majlis Santap Tengah Hari Diraja di Hangar 'B'.


Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM dan ahli-ahli kerabat diraja dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama mantan-mantan Timbalan Menteri Pertahanan, mantan-mantan Pemerintah ABDB, jemputan khas, pegawai-pegawai kanan ABDB dan anggota-anggota ABDB.


Baginda turut berkenan menerima junjung ziarah daripada pegawai-pegawai antarabangsa yang sedang mengikuti kursus di ABDB, termasuk Penasihat dan Atase Pertahanan Tentera Negara-negara Sahabat yang menetap dan tidak menetap, serta yang baharu menerima surat lantikan masing-masing.


Kebawah DYMM kemudian dijunjung bagi Upacara Memotong Kek sempena HUT ABDB Ke-65, dan seterusnya berkenan menerima pesambah hasil buatan tempatan yang bertemakan evolusi aset TUDB sejak 1961.

Bacaan Doa Selamat kemudian dibacakan oleh Pemangku Pengarah JAMA'AT ABDB.


Baginda seterusnya disembahkenalkan kepada kru-kru yang terlibat dalam pertunjukan udara sebelum berkenan melancarkan Projek Pemulihan 'Nostalgia Khazanah Di Udara' bagi Pesawat Bolkow BO105 CBS-5 bernombor pendaftaran HB-100 yang telah dikembalikan ke warna asalnya untuk dipamerkan secara kekal di Muzium TUDB.


Kebawah DYMM kemudian berkenan menandatangani Lembaran Diraja sebelum berangkat meninggalkan majlis.


06.jpg


07.jpg


08.jpg


09.jpg


10.jpg


11.jpg


12.jpg


13.jpg


14.jpg


15.jpg


16.jpg


17.jpg


18.jpg

19.jpg


20.jpg



Close