Memupuk semangat perpaduan, kerjasama serta sifat prihatin





Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 30 Mei. - Ibadah korban merupakan ibadah sunnah yang dituntut untuk dilaksanakan bersempena Hari Raya Aidiladha pada setiap 10 Zulhijah dan pada Hari-hari Tasyrik setiap tahun.


Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan dan jabatan-jabatan di bawahnya mengadakan Majlis Ibadah Korban bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.


Pada tahun ini, sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan dan daging-daging korban diagih-agihkan kepada 76 orang yang terdiri daripada 36 kakitangan lelaki dan 40 kakitangan perempuan Kementerian Kesihatan dalam Bahagian V.


Majlis berkenaan anjuran bersama Jabatan Dasar dan Perancangan, Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan dan Bahagian Pengurusan Estet dan Perkembangan Projek, Kementerian Kesihatan.


Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan Datin hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya mengagih-agihkan daging korban berkenaan kepada para penerima.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan laungan Takbir Raya yang diketuai oleh Awang Sarif Hidayatullah bin Iskandar, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan.


Majlis berkenaan adalah sebagai salah satu usaha Kementerian Kesihatan dalam menyemarakkan syiar Islam di samping memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan sifat prihatin dalam kalangan warga kementerian serta masyarakat.


Turut hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Setiausaha Tetap, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Mohd. Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; ketua-ketua jabatan, serta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.


Close