Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUNGKU LINK, Jumaat, 29 Mei. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini terus memperkukuh nilai-nilai belas kasihan, kesukarelawanan dan penglibatan masyarakat melalui penganjuran Majlis Korban dan Akikah tahunannya sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah bertempat di Dewan Serbaguna (Multipurpose Hall), Bangunan Hal Ehwal Pelajar (HEP), UBD.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dikendalikan di bawah Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat, Seksyen Hal Ehwal Pelajar (Student Affairs Section - SAS) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Brunei Darussalam (PMUBD) itu ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.
Sebanyak enam ekor kerbau dan seekor kambing telah diagihkan pada majlis tersebut yang disempurnakan sesi pengagihan daging korban dan akikah kepada para peserta dan penerima yang hadir oleh tetamu kehormat.
Para sukarelawan terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi serta ahli jawatankuasa bekerjasama dalam menguruskan penyediaan, pembungkusan dan pengagihan daging korban serta akikah kepada para peserta, ahli keluarga yang kurang berkemampuan dan juga ahli komuniti UBD menerusi 'self-collection' dan juga penghantaran.
Ketua Eksekutif Hal Ehwal Agama dan Kerohanian PMUBD, Awangku Muhammad Fauzan Al-Hadey bin Pengiran Damit berkongsi, majlis berkenaan lebih daripada sekadar program keagamaan di mana ia adalah inisiatif bermakna yang mengajar kita nilai pengorbanan, keikhlasan, kerja berpasukan dan membantu masyarakat.
Menerusi majlis berkenaan, ia begitu mencerminkan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang dipupuk dalam kalangan warga universiti.
Selain itu, ia juga mencerminkan komitmen berterusan UBD ke arah memupuk para mahasiswa dan mahasiswi atau bakal graduan yang serba lengkap dan bertanggungjawab secara sosial melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, kepimpinan pelajar dan penglibatan berasaskan komuniti yang bermakna di luar bilik kuliah.
Program ini juga menyediakan para mahasiswa dan mahasiswi peluang berharga untuk membangunkan kepimpinan, kerja berpasukan dan kemahiran organisasi melalui penglibatan komuniti dan juga pengalaman secara langsung. Turut hadir pada majlis tersebut, tetamu jemputan dan warga universiti.