Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Azmah Haji Ahad
TEMBURONG, Jumaat, 29 Mei. - Jabatan Penjara dan Jabatan Daerah Temburong menganjurkan Program Kemasyarakatan dan Kerohanian bertempat di Dewan Serbaguna Kompleks Bumiputera, Pekan Bangar, Temburong, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau. Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar dan Pemangku Pengarah Penjara, Awang Bahrin bin Mohammad Yassin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan laungan Takbir Hari Raya Aidiladha dan diteruskan dengan penyampaian Token Penghargaan kepada penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung bagi mewakili penerima-penerima daripada kampung masing-masing, Rakan Seliaan serta ahli keluarga mereka.
Program ini diserikan dengan persembahan Pembacaan Qasidah dan Tazkirah Khas yang telah disampaikan oleh Awang Abd. Rahman bin Haji Ajak.
Program ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta penghayatan nilai-nilai kerohanian melalui aktiviti yang berteraskan ibadah. Di samping itu, program ini juga dihasratkan untuk memperkukuhkan semangat kemasyarakatan, kebersamaan, perpaduan serta budaya saling bantu-membantu antara agensi kerajaan, sektor swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGOs) dan masyarakat setempat.
Selain itu, program ini turut menyokong proses pemulihan dan reintegrasi sosial bekas penghuni penjara melalui galakan penerimaan masyarakat serta pemberian peluang kepada mereka untuk kembali menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, program ini juga melibatkan penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Daerah Temburong sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.
Program ini juga diharap dapat mengukuhkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.