Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Jumaat, 29 Mei. - Sebanyak 10 ekor kerbau dan lima ekor kambing telah dikorbankan dan diagihkan kepada 200 penerima, terdiri daripada kakitangan Kementerian Pertahanan, pesara tentera, saudara-saudara baharu yang telah memeluk agama islam, dan individu yang kurang bernasib baik, pada Majlis Korban dan Pengagihan Daging Korban sempena Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison, di sini.
Hadir di majlis tersebut dan seterusnya menyempurnakan pengagihan daging korban ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
Turut hadir ialah Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan Kementerian Pertahanan.
Pada tahun ini, jumlah binatang korban yang disembelih di semua Perkhemahan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berjumlah 37 ekor kerbau dan 9 ekor kambing.
Acara keugamaan tahunan ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam memperkukuhkan kebajikan, tanggungjawab sosial, serta nilai-nilai pemberian amal di kalangan warga Kementerian Pertahanan dan ABDB.
Majlis berkenaan antara lain merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan Kementerian Pertahanan untuk mengukuhkan semangat kebersamaan, muhibah dan saling membantu di kalangan Kementerian Pertahanan dan masyarakat ABDB.
Ibadah korban merangkumi nilai berkongsi dan mengambil berat kepada mereka yang memerlukan, memastikan keberkatan dan semangat Aidiladha, selaras dengan nilai Maqasid Syariah yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.