Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BATANG MITUS, Khamis, 28 Mei. - Syarikat PDS Abattoir Sendirian Berhad, anak syarikat Darussalam Assets Sendirian Berhad, sekali lagi diberi kepercayaan sebagai salah sebuah syarikat pembekal haiwan korban bagi Majlis Ibadah Korban Sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Sehubungan itu, kerja-kerja proses penyembelihan dan melapah serta pembungkusan khusus bagi haiwan ibadah korban sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat baginda sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini sempurna dilaksanakan bertempat di Tapak Perusahaan Rumah Penyembelihan, di Kawasan Pertanian Kampung Batang Mitus, Mukim Kiudang, Tutong.
Hadir meninjau kerja-kerja proses pelaksanaan berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan. Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Penolong Pengarah Pembangunan Perniagaan, Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd., Awang Mohd. Zul Fadhli bin Haji Mas Hood berkata, pada tahun ini syarikat berkenaan mengimport haiwan korban yang diimport dari Australia khusus bagi ibadah korban.
Beliau menambah, kerja-kerja pelaksanaan dilakukan oleh lebih 100 kakitangan syarikat berkenaan serta pekerja-pekerja sambilan yang turut sama membantu melancarkan pelaksanaan perkhidmatan ibadah korban tersebut.
Syarikat berkenaan juga menyediakan perkhidmatan penyembelihan semasa korban untuk orang ramai mengikut pakej-pakej yang ditawarkan sekali gus memudahkan orang ramai untuk melaksanakan ibadah korban. Selain perkhidmatan tersebut, Syarikat PDS Abattoir Sdn. Bhd. turut membekalkan daging segar dan produk proses sejuk beku ke pasar raya-pasar raya di seluruh negara.
Sementara itu, proses pengagihan daging-daging ibadah korban kepada penerima-penerima yang terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin serta tanggungan mereka dilaksanakan di beberapa buah lokasi di seluruh negara.