Tinjauan proses penyembelihan, melapah, pembungkusan haiwan korban



Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Azmah Haji Ahad





MULAUT, Khamis, 28 Mei. - Kerja-kerja proses penyembelihan dan melapah serta pembungkusan bagi haiwan ibadah korban sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat baginda sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi telah dilaksanakan di dua buah syarikat tempatan, hari ini.


Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah melantik dua syarikat, iaitu Syarikat Mohammed Norfaidzal bin Haji Zainuddin dan Anak-anak, Lot G, Projek Ladang Ternakan Lampaki, Jalan Mulaut Lampaki, Kampung Mulaut dan Syarikat PDS Abattoir Sendirian Berhad bertempat di Tapak Perusahaan Rumah Penyembelihan di Kawasan Pertanian Kampung Batang Mitus, Mukim Kiudang, Tutong sebagai pembekal haiwan korban.


Hadir bagi meninjau kerja-kerja proses di Projek Ladang Ternakan Lampaki, Jalan Mulaut Lampaki, Kampung Mulaut, di sini, ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar.


Sementara itu, proses pengagihan dilaksanakan di beberapa buah lokasi di seluruh negara iaitu enam lokasi bagi Daerah Brunei dan Muara, dua lokasi bagi Daerah Belait, dua lokasi bagi Daerah Tutong dan sebuah lokasi bagi Daerah Temburong.


Sebanyak 210 ekor haiwan korban iaitu sebanyak 196 ekor sapi dan 14 ekor kambing dikorbankan dan sebahagian daging ibadah korban sunat tersebut diagihkan kepada sejumlah 18,527 orang asnaf fakir dan miskin di seluruh negara. Dua buah syarikat berkenaan dipilih untuk membekalkan haiwan-haiwan yang berkualiti yang kebanyakannya didatangkan dari wilayah Australia.


Syarikat-syarikat berkenaan turut menyediakan perkhidmatan penyembelihan semasa korban mengikut kehendak undang-undang syariat Islam yang ketat serta kebersihan dan kualiti yang terjamin. Di samping itu juga, syarikat berkenaan membekalkan daging segar dan beku ke pasar raya-pasar raya dan restoran-restoran di negara ini.


Close